PETALING JAYA: Pemergian Profesor John L. Esposito disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia Islam kerana beliau merupakan tokoh yang membina asas intelektual bagi memperdalam pemahaman mengenai agama itu di Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan sarjana terkemuka dunia itu dalam memperkukuh persefahaman antara masyarakat Muslim dan Kristian juga amat besar.
Katanya, John merupakan pengasas Pusat Persefahaman Muslim-Kristian di Universiti Georgetown, penyunting Oxford Encyclopaedia of the Islamic World dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pengajian Timur Tengah Amerika Utara.
Pada masa sama, beliau turut menghasilkan buku Makers of Contemporary Islam bersama John Voll yang mengkaji kepelbagaian serta perbezaan haluan pemikiran politik Muslim moden.
“Hari ini, saya berdukacita atas pemergian seorang sahabat yang amat saya kasihi. Saya mula mengenali John pada awal tahun 1970-an dan persahabatan kami kekal utuh selama lebih lima dekad sejak itu.
“Beliau membina jambatan persefahaman ketika pihak lain lebih selesa membina tembok pemisah antara peradaban.
“Saya akan mengenang John sebagai seorang sarjana yang hebat, tetapi lebih daripada itu, sebagai seorang sahabat yang pandangan dan nasihatnya amat saya hargai sepanjang bertahun-tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sepanjang tempoh persahabatan mereka, Anwar berkata, tokoh berkenaan sentiasa menyokongnya tidak kira susah mahupun senang.
“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada isteri beliau, Jean serta keluarga, rakan sekerja dan pelajarnya.
“Semoga ilmu dan dialog yang dibina sepanjang hayatnya terus memberi manfaat kepada dunia. Sehingga ke akhir hayatnya, beliau merupakan sahabat sejati dunia Islam,” katanya. – UTUSAN










