PETALING JAYA: “Tiada siapa tinggalkan siapa. Itu Keputusan bersama.”
Demikian komen pelakon Lorenzo Irman, 22, yang memaklumkan impian mendirikan rumah tangga dengan wanita dicintai tidak kesampaian.
Lorenzo atau nama sebenarnya Lorenzo Irmann Farhan Caddeo Paolo memaklumkan keputusan itu dibuat secara teliti atas kesepakatan bersama.
“Memang kami merancang untuk berkahwin. Tapi bila perancangan tak menjadi, saya membuat keputusan untuk fokus pada kerja.
“Tiada siapa tinggalkan siapa. Kami sepakat untuk memberi fokus kepada kerjaya,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Cinta Dalam Sekam dan What’s Next on Viu di Odeon Kuala Lumpur semalam.
Lorenzo memaklumkan dia terlalu muda untuk menamatkan zaman bujang tatkala kerjaya lakonanannya baru bermula.
“Ketika itu kami meletakkan cinta sebagai keutamaan. Tapi bila saya fikir balik tentang masa depan, saya rasa terlalu awal dan saya masih muda, baru umur 22.
“Nama saya pun baru nak naik. Masa itu saya baru habis belajar dan terus bekerja. Jadi saya rasa lebih baik fokus pada kerjaya dulu daripada terus berkahwin,” kongsinya lagi.










