Sistem daftar masuk lapangan terbang Langkawi dinaik taraf

Sistem daftar masuk lapangan terbang Langkawi dinaik taraf

CHE Sulaiman Che Pa (tengah) mengagihkan biskut khas kepada penumpang sempena pencapaian Anugerah Lapangan Terbang Terbaik di Asia Pasifik di LTAL Langkawi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) akan menaik taraf sistem daftar masuk dan sistem pengesahan pas masuk pada Oktober nanti.

Pengurus LTAL, Che Sulaiman Che Pa berkata, kedua-dua sistem itu dijangka melancarkan lagi proses daftar masuk bagi penumpang yang menggunakan terminal tersebut.

“Kita akan meletakkan kaunter daftar masuk sendiri yang boleh digunakan semua syarikat penerbangan di sini bagi memudahkan urusan daftar masuk penumpang.

“Selain itu, pemeriksaan keselamatan sebelum masuk ke dewan pelepasan juga akan menggunakan sistem automatik. Pihak keselamatan tidak perlu memeriksa pas masuk secara manual, sekali gus menjadikan urusan penerbangan penumpang lebih lancar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan 300 biskut kepada penumpang yang tiba di LTAL hari ini selepas berjaya menerima Anugerah Lapangan Terbang Terbaik di Asia Pasifik untuk tahun ketiga berturut-turut.

Menurut Che Sulaiman, sistem daftar masuk bagasi juga akan dinaik taraf menjadi kaunter daftar masuk bagasi sendiri menjelang suku kedua tahun hadapan.

Jelasnya, proses menaik taraf itu bagi memastikan LTAL berjaya mengekalkan statusnya sebagai lapangan terbang terbaik dalam kategori kualiti servis lapangan terbang (ASQ) yang diberikan oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

“Anugerah tersebut adalah hasil kerja keras semua jabatan kerajaan, syarikat penerbangan serta pemegang taruh yang berada di LTAL yang turut menyumbang kepada pencapaian itu.

“Selain itu, LTAL akan bekerjasama dengan Kompleks Kraf Langkawi untuk mengadakan aktiviti kebudayaan secara berkala dalam usaha memperkenal budaya Malaysia kepada pelancong asing yang tiba melalui pintu masuk ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN