KLANG: Kegiatan sindiket arak tiruan yang berselindung di sebalik premis kitar semula dan kimpalan besi di Batu 9, Cheras sejak enam bulan lalu tumpas selepas digempur pihak berkuasa Isnin lalu.
Premis itu disyaki menjadi lokasi pembotolan dan pembungkusan minuman tidak berlesen berkenaan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan sebelum berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit Dua yang menyerbu kawasan tersebut, kira-kira pukul 8 malam.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama dua minggu mengenai kewujudan arak tiruan di premis berkenaan.
Menurutnya, ketika serbuan dua lelaki tempatan berusia 54 dan 64 tahun yang diupah oleh sindiket untuk membungkus minuman itu.
“Pemeriksaan lanjut menemukan ribuan botol tong berisi 1,753 liter arak dan kira-kira 100 karton botol kosong.
“Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM40,500 dengan cukai terlibat berjumlah RM124,500,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pangkalan Marin Kastam, Pelabuhan Klang di sini, petang ini.
Menurut Norlela, botol dan kotak arak pelbagai jenama itu disyaki tidak bercukai serta mempunyai label setem cukai yang disyaki palsu.
“Premis berkenaan turut didapati tidak berlesen mengikut Akta Eksais 1976. Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik premis dan kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 3 (1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1967. – UTUSAN










