PETALING JAYA: Satu Sekretariat Diraja di bawah Majlis Raja-Raja Melayu dan Jabatan Perdana Menteri perlu diwujudkan bagi menguruskan tuntutan undang-undang membabitkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, orang Melayu dalam apa juga parti politik perlu teguh bersama golongan bumiputera di Sabah dan Sarawak serta komuniti lain bukan saja memperkasakan, bahkan memperjuangkan tuntutan selaras dengan Perkara 153 tanpa segan silu.
“Dengan tertubuhnya sekretariat tersebut, hak asas orang Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak akan terjamin, bahkan tidaklah seperti kini di mana keadaan Perkara 153 terbiar,” katanya pada Forum Keistimewaan Melayu Perkara 153 Peruntukan Perlembagaan, hari ini.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberikan Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain.
Perkara 153 adalah salah satu perkara paling berkontroversi dalam perlembagaan Malaysia.
Mengulas lanjut, Rais berkata, parti politik berasaskan Melayu tidak lagi boleh hanya sibuk berpolitik dengan mengejar jawatan dan kerusi pilihan raya sebaliknya perlu bersatu hati dalam semua hal khususnya membabitkan kepentingan bangsa sendiri.
“Dengan hormat juga, diperingatkan Raja-Raja Melayu supaya mengambil berat tentang Perkara 153 kerana ia merupakan perisai utama bagi kita (orang Melayu) untuk menjayakan pelbagai aspek kemajuan di bawah perkara tersebut,” katanya. -UTUSAN










