BUTTERWORTH : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memberi amaran kepada pengendali syarikat bas ekspres supaya menyediakan pemandu kedua untuk perjalanan melebihi 300 kilometer (km) bagi memastikan keselamatan penumpang lebih terjamin.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, syarat yang dikenakan itu dapat mengatasi serta mengurangkan risiko kemalangan maut terutamanya semasa musim perayaan.
“Perjalanan melebihi 300 km mesti kena ada pemandu kedua. Tetapi, banyak syarikat pengusaha bas yang gagal sediakannya.
“Antara alasan yang selalu diberikan ialah, pemandu kedua dikatakan akan naik di terminal seterusnya untuk menggantikan pemandu pertama, sedangkan, sudah termaktub dalam peraturan bahawa dua pemandu diperlukan sebelum perjalanan dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan bas ekspres sempena Ops Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Terminal Bas Penang Sentral, di sini, malam tadi.
Tambah Zulkifly, mana-mana syarikat bas ekspres yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan akan dikenakan tindakan termasuk pemandu yang berkenaan dilarang untuk memulakan perjalanan.
“Ada juga pengusaha yang sengaja tidak menyediakan pemandu kedua kerana inginkan keuntungan lebih sedangkan tindakan itu hanya akan membahayakan nyawa penumpang.
“Justeru, kita akan tingkatkan lagi operasi seumpama ini bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan yang telah digariskan, malah, memandu dengan berhemah supaya tiba di destinasi dengan selamat,” katanya.
Terdahulu, Zulkifly berkata, menerusi operasi yang bermula sejak 1 April lalu, sebanyak 4,553 kenderaan telah diperiksa manakala 1,377 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 790 kenderaan turut dikenakan tindakan dan 37 kenderaan turut disita setakat ini. Operasi ini akan diteruskan sehingga 20 April depan dan kita rancakkan pemantauan untuk pastikan tahap pematuhan pemandu lebih meningkat,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa seramai 98 anggota JPJ ditugaskan sepanjang tempoh musim perayaan ini untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan.
“Kita turut dibantu pelbagai agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya.-UTUSAN










