Sanusi dakwa penahanan anak MB Perlis ‘drama’ untuk PRK

Sanusi dakwa penahanan anak MB Perlis ‘drama’ untuk PRK

MUHAMMAD Sanusi Md Nor (kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Dewan 2020, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan penahanan anak Menteri Besar Perlis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai drama yang dicipta untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun katanya, tindakan seperti itu langsung tidak akan memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

Katanya yang juga Menteri Besar Kedah, adegan-adegan seperti sudah diatur untuk menghadapi PRK.

“Penahanan anak Menteri Besar (Perlis) ini, drama dicipta untuk PRK, semua orang tahu dan ia bukan rahsia besar. Semua adegan itu adalah ‘setting’ untuk menghadapi PRK dan kita gelak sahaja.

“Kalau usaha untuk membasmi rasuah, dia tidak patut fokus pada pembangkang sahaja, negeri dia (kerajaan) juga banyak kenapa tidak ada satu siasatan pun.

“Kenapa bahagian operasi khas (BOK) tidak pergi ke sana, tuju negeri-negeri tertentu sahaja, siasatan terpilih, itu lawak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Dewan 2020 di sini hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Siasatan berkenaan dilakukan atas kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan dengan anggaran jumlah keseluruhan projek bernilai RM600,000 bermula dari tahun 2022 sehingga kini.

Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, situasi berkenaan tidak akan menjejaskan PN sebaliknya mungkin memberi kesan kembali kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN