JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat penghantaran barangan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan menyimpan minyak sebanyak 31,164 diesel bersubsidi tanpa kebenaran, empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizi Derani, 46, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Azizi didakwa mempunyai dalam kawalannya barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 30,972 liter yang disimpan di dalam sebuah lori tangki dan 237 liter di dalam sebuah tangki besi yang diletakkan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda bernombor.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis kediaman di Lot 3661-B, Lorong Durian, Kampung Sinaran Baru, Skudai, di sini kira-kira pukul 1 petang pada 15 Ogos 2022.
Minyak diesel berkenaan didapati berada dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa tertuduh telah berurusan dengan barang kawalan diesel secara runcit atau borong tanpa lesen, yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Bagi perbuatan itu, Azizi telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 22(1) akta sama, yang mana boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Loganathan manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Hidayah Basiran.
Nurul Hidayah memohon hukuman denda minimum dengan alasan pengakuan bersalah anak guamnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Anak guam merupakan penanggung tunggal keluarga dan menyara empat orang isteri yang tidak bekerja, 12 anak kandung, dua anak angkat dan lima anak tiri. Selain itu anak guam juga merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung kritikal selain baharu menjalani pembedahan kecil membuang ketumbuhan di perut dua hari lalu,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon agar hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia kesalahan berulang setelah tertuduh pernah didenda RM7,000 oleh mahkamah sama pada November lalu.
“Orang Kena Saman (OKS) juga pernah diberi peluang untuk membayar kompaun RM100,000 bagi kes ini tanpa perlu melalui prosiding mahkamah, tetapi OKS tidak berbuat demikian,” katanya.
Pada prosiding berkenaaan, mahkamah turut memerintahkan diesel bernilai RM74,901.60 dilucut hak hak kepada kerajaan Malaysia. – UTUSAN










