KLUANG: Ahli keluarga kanak-kanak darjah satu yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang, di sini petang semalam mempersoalkan tindakan pemandu bas yang tidak menurunkan mangsa di hadapan rumah seperti kebiasaan.
Bapa saudara kepada Muhammad Umar Mohd. Faaiz, 7, iaitu Khairul Annuar Salim, 50, berkata, kejadian itu sukar diterima mereka sekeluarga kerana mangsa telah menggunakan khidmat bas sekolah sama sejak awal persekolahan.
Katanya, simpang tiga yang menjadi lokasi kejadian hanya berjarak kira-kira 100 meter daripada kediaman mangsa.
“Saya tidak sangka perkara ini berlaku kerana selama ini memang dia akan turun di depan rumah. Sebab itu saya tidak pasti kenapa semalam dia diturunkan di simpang tiga itu,” katanya ditemui di kediaman keluarga di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, di sini hari ini.
Tambah Khairul Annuar, dia difahamkan pemandu bas telah memastikan kanak-kanak tersebut melintas jalan melalui bahagian belakang bas sebelum hendak meneruskan perjalanan.
“Bagaimanapun kami tidak tahu bagaimana mangsa tiba-tiba berada di bahagian sisi bas sehingga dilanggar sebelum terjatuh di atas jalan,” katanya.
Menurutnya lagi, Muhammad Umar tinggal bersama datuk dan neneknya, Salim Othman, 72, serta Zaiton Shaari, 70, kerana ibu bapanya bekerja di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
“Arwah merupakan anak sulung daripada tiga beradik, dia cucu yang baik dan selama ini dijaga penuh kasih sayang oleh datuk serta neneknya.
“Jenazah Muhammad Umar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang hari ini sebaik selesai proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 4.20 petang ketika mangsa baharu turun daripada bas sekolah dan hendak menuju ke rumahnya.
“Bas dipandu wanita berusia 36 tahun itu bergerak ke depan sebelum membelok ke kiri. Pemandu dipercayai tidak menyedari kanak-kanak tersebut masih berada berhampiran kenderaan sehingga berlaku pelanggaran.
“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










