PETALING JAYA: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda enam negeri dan Labuan sehingga pukul 3 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menerusi amaran yang dikeluarkan pada pukul 12 tengah hari tadi memaklumkan, cuaca itu dijangka melanda Langkawi, Kedah; Port Dickson, Negeri Sembilan, seluruh Melaka serta Tangkak dan Muar di Johor.
Di Sabah, kawasan yang diramal terlibat ialah Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat (Kota Marudu).
Sementara itu, di Sarawak pula membabitkan Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Menurut Met Malaysia, amaran berkenaan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/jam) yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – UTUSAN










