KUALA LUMPUR – “Sanusi seharusnya berdiam diri dan fokus pada projek yang telah diumumkan di negeri Kedah”.
Itu bidas jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengatakan hubungan PH-BN sudah retak.
Dalam masa sama, Menteri Komunikasi itu menegaskan, masih banyak projek menteri itu yang masih belum disiapkan di bawah Widad Group Bhd. (Widad).
“Dia (Sanusi) ini sembang banyak, siap tak banyak, berbeza dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang tunaikan dan lunaskan (projek yang sedia ada).
“Sudahlah Sanusi ini ada kes hasutan. Jadi, saya rasa lebih baik diam sahajalah, Sanusi,” katanya ketika ditemui wartawan di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perkeso dan Finas di Hotel Royale Chulan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Sanusi berkata, keputusan MCA untuk tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan akan menambah lagi keretakan dalam parti PH.
“(Hubungan) dia sudah retak, kita akan pecahkan lagi menjadi belah. Itu kerja politik,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu negara, semalam. – UTUSAN










