Rogol, Amang seksual anak saudara, `pesakit psikiatri' dipenjara 9 tahun

Rogol, amang seksual anak saudara, `pesakit psikiatri’ dipenjara 9 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mendakwa pesakit psikiatri, kekal menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan dikenakan enam kali sebatan atas satu kesalahan merogol dan dua kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang masih di bawah umur, dua tahun lalu.

 

Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman itu terhadapnya (nama tidak didedahkan) selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

 

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat berpuas hati rayuan tertuduh tidak bermerit selepas berpendapat pengakuan salahnya dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

 

Beliau turut berpendapat, permohonan semakan lelaki itu gagal menunjukkan keperluan mahkamah untuk menggunakan kuasa budi bicara menyemak keputusan Mahkamah Sesyen.

 

Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan bagi kesalahan merogol serta hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi  tuduhan amang seksual fizikal serta perintah kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun.  Hukuman penjara berkuat kuasa serentak.

 

Menurut pertuduhan pindaan pertama, perayu didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di bilik sebuah rumah di Taman Universiti, Skudai serta dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu di bilik sama kira-kira pukul 12 tengah malam, 5 Julai 2022.

 

Ringkasan fakta kes menyatakan, pada 23 Julai 2022, mangsa menghubungi ibunya (pengadu kes) yang bekerja di Singapura dan mengadu dirogol oleh bapa saudara beberapa kali.

 

Remaja itu turut menceritakan kejadian itu kepada isteri perayu yang juga ibu saudara (kakak kepada ibunya) namun tidak dipercayai, sebaliknya dihantar ke rumah nenek tirinya.

 

Pada hari yang sama, ibunya bertemu mangsa dan seterusnya membuat laporan polis menyebabkan perayu ditangkap dua hari kemudian (25 Julai 2022).

 

Dalam petisyen rayuannya, lelaki itu menyatakan tidak memahami pertuduhan serta sifat dan akibat pengakuan salahnya selain `disuruh’ mengaku oleh pegawai penyiasat dan polis pengiring.

 

Lelaki itu turut mendakwa dia pesakit psikitari dan tertekan dari segi emosi kerana tidak mengambil ubat untuk menstabilkan fikirannya.

 

Mahkamah bagaimanapun berpendapat, perayu memahami prosiding yang menggunakan bahasa Melayu serta mampu berkomunikasi dengan baik.

 

“Perayu tidak memperlihatkan kelakuan seseorang yang tidak siuman atau melakukan tindak tanduk yang meragukan sidang mahkamah ketika itu.

 

“Jika wujud keadaan tersebut, sudah tentu hakim Mahkamah Sesyen akan sedar dan ambil cakna kerana beliau perlu membuat pengamatan agar tertuduh berada dalam keadaan waras untuk membuat pengakuan.

 

“Mengalami tekanan emosi dalam prosiding mahkamah adalah normal dan tidak boleh diterima sebagai alasan yang menjadikan prosiding tidak sah.

 

“Fakta bahawa perayu merupakan pesakit psikiatri yang sedang menerima rawatan berkala hanya ditimbulkan ketika membuat afidavit memohon kebenaran lanjutan masa memfailkan notis rayuan,” demikian menurut penghakiman bertulis bertarikh 16 Oktober 2023 yang diperolehi media melalui laman web mahkamah hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN