RM335 juta dibelanja memulihara sungai

RM335 juta dibelanja memulihara sungai

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) komited melaksanakan kerja memulihara sungai bagi mengurangkan risiko banjir.

Menurut menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, di bawah Projek Pemuliharaan Sungai, sebanyak RM390 juta diperuntukkan di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk menyelesai masalah itu.

“Sehingga tahun 2023, sejumlah RM335 juta  dibelanjakan untuk pelaksanaan 2,942 perolehan kerja dengan skop utama seperti kerja-kerja menstabilkan tebing sungai, menaik taraf aset tidak alih dan saluran struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Tuan Abun Sui Anyit yang ingin mengetahui perancangan oleh kementerian untuk membersihkan sungai-sungai di negara ini yang banyak tercemar.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai langkah jangka masa panjang, JPS turut melaksanakan kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management – IRBM)

“Objektif utama pelaksanaan IRBM adalah untuk memastikan air mencukupi, memastikan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan alam sekitar,” jelasnya.

Katanya, JPS merancang untuk melaksanakan 45 kajian IRBM melibatkan 189 lembangan sungai di seluruh negara dengan kos berjumlah RM 184 juta.

Setakat Mac 2024, 23 kajian berjaya disiapkan dengan kos berjumlah RM40 juta manakala baki kajian dalam pelaksanaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN