GEORGE TOWN: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang melaksanakan projek-projek bekalan air bernilai lebih RM800 juta bagi memperkukuh jaminan bekalan air di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, sebanyak lima projek utama sedang dirancang dan dilaksanakan dengan anggaran kos keseluruhan RM837.5 juta.
Menurut beliau, antara projek berimpak tinggi ialah pembinaan baraj baharu Sungai Muda di Rantau Panjang, Seberang Perai Utara, yang dijangka siap pada 2027 dengan kos RM175 juta.
‘Projek ini akan menggantikan baraj lama yang telah beroperasi sejak 1973 selain berfungsi menghalang kemasukan air laut ke hulu sungai dan mengawal paras air Sungai Muda.
“Baraj ini juga akan meningkatkan kecekapan pengambilan air mentah di muka sauk Lahar Tiang untuk kegunaan Pulau Pinang serta menyokong operasi loji rawatan air di Kedah,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek akhir Pelan Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) bernilai RM214 juta turut menjadi komponen penting, termasuk pembinaan Rumah Pam Air Mentah Lahar Yooi berkapasiti 440 juta liter sehari (JLH).
Menurutnya, projek itu turut melibatkan pemasangan saluran paip aliran dua hala berkapasiti 400 JLH yang akan meningkatkan keupayaan pengurusan air mentah di Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD).
“Semasa musim hujan, sistem ini membolehkan pengisian semula empangan dilakukan dengan lebih pantas, manakala ketika musim kering, kapasiti pelepasan maksimum dapat ditingkatkan daripada 600 JLH kepada 1,000 JLH,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan kapasiti itu amat penting bagi memastikan EMD berfungsi sebagai sumber sandaran sekiranya berlaku gangguan di Sungai Muda.
Katanya, projek sumber air mentah di Sungai Kerian di Seberang Perai Selatan dengan kos RM419 juta melibatkan kajian pembesaran Empangan Bukit Panchor serta pembinaan skim takungan air pinggiran sungai.
“Projek tersebut dijangka meningkatkan keupayaan bekalan air di kawasan selatan negeri sehingga pelaksanaan projek air antara negeri Perak- Pulau Pinang siap sepenuhnya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf sistem pengambilan air di Titi Kerawang dan Teluk Awak di Teluk Bahang bernilai RM26.5 juta akan membantu mempercepatkan pengisian semula Empangan Teluk Bahang. – UTUSAN










