KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Hazrat Muaz tidak menyangka video yang dimuat naiknya di aplikasi TikTok melorongkan peluang untuknya dalam bidang lakonan.
Katanya, dia bersyukur kerana ditawarkan membintangi beberapa buah drama dan mengacara program travelog meskipun video yang dimuat naik di platform tersebut sebelum ini hanyalah sekadar hobi.
“Sebenarnya saya buat video tersebut secara suka-suka sahaja. Tak sangka pula dapat sambutan daripada pengguna (TikTok) sehingga merekodkan jumlah tontonan yang tinggi berserta komen peminat.
“Bila video berkenaan ‘blow up’, muncul beberapa tawaran berlakon untuk saya. Saya pula sejak dulu memang meminati dan rasanya ini peluang terbaik untuk saya menceburi bidang seni seperti mana yang diimpikan,” katanya.
Meskipun masih baharu, jejaka berusia 29 tahun ini gembira apabila dilamar untuk membintangi drama Panggil Aku Dahlia yang dijangka tamat penggambaran pada bulan ini.
Jelasnya, dia teruja membawa watak King Shah selain berpeluang bergandingan dengan beberapa nama besar yang lain seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Zila Bakarin, Azah Aziz dan Raja Azmi.
“Bukan mudah sebenarnya untuk orang baharu seperti saya menceburi bidang ini sementelah saya sendiri tiada pengalaman. Lebih membanggakan apabila mereka yang lebih senior memberi banyak tunjuk ajar kepada saya untuk menghidupkan watak yang dipertanggungjawabkan.
“Saya menghormati sikap baik yang ditunjukkan mereka sepanjang penggambaran. Saya sendiri perlu membuang rasa malu dan kekok untuk memberikan hasil yang terbaik untuk drama ini,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, Hazrat yang juga merupakan perunding takaful mengakui telah mengikuti kelas lakonan sebelum masuk ke set penggambaran.
Dia mendapat bimbingan beberapa orang guru lakonan termasuklah Lan Siro & Jaja Ishak yang banyak membantunya menapak sebagai pelakon baharu.
Dengan ilmu yang diberikan, dia mula membina kepercayaan pihak produksi Jaja Ishak Channel Sdn. Bhd. yang juga merupakan penerbit terawal yang mengesan bakatnya sehingga memberikan peranan pelakon pembantu utama dalam drama Panggil Aku Dahlia.
“Bukan mudah sebenarnya mahu membina kepercayaan orang kepada kita. Bila sudah dapat peluang, saya harus lakukan yang terbaik bagi membalas jasa mereka. Sebab itu saya suka berada di set penggambaran dan bercampur dengan pelakon senior.
“Mereka tidak pernah lokek dengan ilmu pengetahuan dan dalam masa yang sama membantu orang baharu seperti saya untuk ke hadapan,” kata anak kelahiran Pahang ini.
Meskipun baru menceburi bidang ini, Hazrat juga bersyukur kerana sudah dilamar untuk membintangi beberapa naskhah baru termasuklah telefilem Lafaz Yang Termakbul untuk RTM, Elhan Untuk Nian (Salam HD), Travelog Pahang First, Dokumentari Permata Tanjung Gahai dan beberapa naskhah lain.
Sebagai orang baharu dia banyak mencari peluang termasuklah menghadiri beberapa sesi uji bakat yang dijalankan oleh pihak produksi. Tambahnya, pengalaman tersebut amat berguna meskipun ada kalanya terpaksa pulang hampa.
“Apabila menghadiri uji bakat, ada kala saya rasa begitu kerdil sekali. Pelakon yang lain datang membawa pengalaman sedangkan saya masih digelar orang baharu. Tapi itu membuatkan saya bersemangat untuk merebut peluang yang ada.
“Tapi melalui uji bakat ini juga saya mendapat beberapa tawaran. Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Saya hanya berusaha selebihnya saya serahkan kepada Yang Maha Kuasa,” tambahnya lagi.










