Pogacar makin hampir julang Tour de France

Pogacar makin hampir julang Tour de France

TADEJ Pogacar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LE MARKSTEIN: Tadej Pogacar semakin menghampiri gelaran keempat Tour de France selepas mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memenangi peringkat ke-14, hari ini.

Ianya sekali gus melebarkan jurang selesa di puncak kedudukan keseluruhan kepada empat minit 30 saat mengatasi pencabar utamanya, Jonas Vingegaard.

Juara dunia dari Slovenia itu menamatkan perlumbaan sejauh 155 kilometer (km) dari Mulhouse ke Le Markstein Fellering sebagai pemenang, sekali gus meraih kemenangan peringkat keempatnya dalam edisi ke-113 perlumbaan berprestij tersebut dan kemenangan peringkat ke-25 sepanjang karier sejak membuat penampilan sulung pada 2020.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang berada di tepi jalan. Ia benar-benar sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

“Melihat begitu ramai penyokong memenuhi bukit dan gunung… saya tidak pernah menyaksikan suasana seperti ini. Semua pelumba saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Pogacar sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pelumba paling dominan dalam perlumbaan apabila melancarkan serangan penentu 1.5km sebelum puncak pendakian terakhir Col du Haag, sekali gus meninggalkan pencabar-pencabarnya sebelum mengekalkan kelebihan itu hingga ke garisan penamat.

“Saya fikir kami semua telah mempamerkan perlumbaan yang hebat. Seronok dapat menyaksikan perlumbaan seperti ini,” katanya.

Isaac Del Toro melengkapkan kejayaan berganda buat UAE Emirates-XRG apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di depan pelumba muda Perancis, Paul Seixas, manakala Vingegaard sekadar menduduki tempat keempat.

Seixas turut mencuri perhatian apabila memperoleh empat saat bonus untuk melonjak ke tangga keempat keseluruhan, sekali gus merampas jersi putih selaku pelumba muda terbaik daripada Juan Ayuso dengan kelebihan hanya tiga saat, manakala juara Olimpik, Remco Evenepoel kekal di tangga ketiga keseluruhan selepas menamatkan perlumbaan empat saat di belakang Vingegaard.

Sejak permulaan perlumbaan, lebih 30 pelumba cuba meloloskan diri daripada kelompok utama, namun UAE Emirates-XRG mengawal perlumbaan dengan kemas sebelum Pogacar melancarkan serangan yang dijangka pada pendakian terakhir bagi mengukuhkan cengkamannya ke atas perlumbaan dengan baki beberapa peringkat lagi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN