NEW YORK: Harga tiket yang melambung tinggi gagal mematahkan semangat penyokong untuk menyaksikan Piala Dunia 2026 apabila permintaan luar biasa terhadap kejohanan itu membuktikan strategi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan harga premium terus mendapat sambutan.
Perlawanan akhir antara juara bertahan, Argentina dan Sepanyol di Stadium New York New Jersey, awal pagi esok, dijangka menjadi acara sukan paling mahal pernah dianjurkan di Amerika Syarikat dengan peminat tetap sanggup berbelanja besar demi menyaksikan Lionel Messi beraksi menentang bintang muda sensasi, Lamine Yamal.
Pakar industri tiket sukan, Scott Friedman berkata, FIFA berjaya menjangka permintaan pasaran dengan tepat walaupun timbul kebimbangan sebelum kejohanan mengenai isu visa serta situasi politik di Amerika Syarikat.
“FIFA melakukan tugas yang sangat baik dalam menentukan tahap permintaan kerana orang ramai sanggup membayar harga yang dianggap tidak masuk akal untuk hampir kesemua 104 perlawanan.
“Setahun lalu kami tidak menyangka orang ramai masih sanggup datang ketika timbul isu berkaitan ICE dan pelbagai kebimbangan lain, tetapi Piala Dunia tetap kejohanan paling popular di dunia dan FIFA menetapkan harga tinggi kerana mereka tahu penyokong akan membayarnya,” katanya.
Analisis mendapati hampir semua perlawanan peringkat kumpulan berlangsung di hadapan stadium penuh apabila sekitar 99.7 peratus tempat duduk berjaya diisi, sekali gus menepis kebimbangan awal bahawa harga tiket yang mahal akan menjejaskan kehadiran penyokong.
Pensyarah Kejuruteraan Industri dan Penyelidikan Operasi Universiti Columbia, Adam Elmachtoub pula berpendapat sistem harga dinamik yang diperkenalkan FIFA masih menimbulkan persoalan kerana orang ramai tidak memahami bagaimana harga sebenar ditentukan.
“Salah satu punca kekecewaan sejak beberapa bulan lalu ialah tiada siapa benar-benar tahu bagaimana sistem ini berfungsi.
“Orang ramai boleh menerima harga dinamik seperti yang berlaku dalam pembelian tiket penerbangan atau barangan, tetapi bagi acara berprofil tinggi seperti ini, ketelusan akan banyak membantu,” katanya.
Menjelang aksi final, hampir semua tiket berjaya dijual dengan sebahagian daripadanya mencecah kira-kira AS$32,000 (RM131,068), manakala platform jualan semula SeatGeek menyifatkan final Piala Dunia tahun ini sebagai acara paling mahal pernah dijual mereka, mengatasi harga purata tiket Super Bowl 2024 sebanyak lapan peratus, walaupun kumpulan hak penyokong menyifatkan kejohanan kali ini hanya mampu dinikmati segelintir peminat yang mempunyai kuasa beli tinggi. – AGENSI










