PADANG BESAR: Kerajaan negeri berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan kesemua peruntukan pembangunan yang dipohon.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pada dasarnnya peruntukan projek pembangunan negeri ini bernilai ratusan juta ringgit.
Katanya, projek pembangunan bernilai tinggi akan diangkat ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan semua permohonan pembangunan negeri walaupun hanya separuh hari sahaja berada di Perlis.
“Semua projek yang dimohon itu yang mempunyai nilai besar yang akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini melibatkan jumlah ratusan juta ringgit,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa Madani peringkat negeri ini di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping di sini hari ini.
Terdahulu pada sebelah petang, Anwar dalam lawatan kerja ke negeri ini hadir mendengar taklimat pembangunan negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di Kangar.
Beliau kemudiannya meluangkan kira-kira 20 minit menyantuni peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Persiaran Wawasan.
Tambah Mohd. Shukri, antara butiran dibincangkan dan akan diangkat ke mesyuarat Kabinet adalah peruntukan mesin pengimbas di Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bernilai RM40 juta.
“Selain itu, permohonan kerajaan negeri untuk projek pembangunan adalah pembinaan jambatan Sungai Baru selain tambahan kepada projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian bernilai RM14 juta.
“Selain itu, Perdana Menteri juga meluluskan tambahan peruntukan mengurus bernilai kira-kira RM100 juta dan kita mengharapkan ianya diluluskan di peringkat mesyuarat Kabinet,” katanya.-UTUSAN










