HULU SELANGOR: Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendedahkan keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dibuat pada saat akhir iaitu sekitar pukul 2 pagi tadi.
Calon PRM, Hafizah Zainuddin berkata, beliau membuat keputusan untuk bertanding kerana mahu kerajaan telus dalam isu-isu yang dibimbangi oleh rakyat.
Menurutnya, rakyat berhak tahu dan mendapat pencerahan yang jelas daripada pihak kerajaan berhubung perkara yang berbangkit.
“Kita nak apa yang kita perjuangkan selama ini dilakukan, kerajaan perlu mengambil sikap memberitahu rakyat dengan lebih jelas. Jadi, kena ada ketelusan dan tidak perlu diselindung.
“Kami nak bongkarkan perkara ini supaya rakyat lebih faham dan menyokong kami, itu sahaja. Janji kami, kami akan perbetulkan lah apa yang tidak betul sekarang,” katanya kepada pemberita, di sini.
PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan antara empat calon iaitu selain daripada Hafizah adalah Pang Soc Tao yang betanding bagi Pakatan Harapan (PH), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 20 Mac lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu. – UTUSAN










