KANGAR: Peluang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu disifatkan sebagai 50-50 namun tetap mempunyai potensi besar untuk menang jika peratusan keluar mengundi tinggi khususnya membabitkan pengundi Melayu.
Bagi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau melihat isu ekonomi yang kritikal selain kenaikan kos sara hidup akan membuka mata pengundi untuk menolak Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu.
Selain itu, katanya, rakyat juga kecewa dengan janji reformasi dan pelbagai janji lain yang tidak ditunaikan sebagaimana diulang-ulang semasa PH pembangkang dahulu.
“Saya lihat peluang 50-50 namun kita juga masih mempunyai kelebihan menerusi calon yang diketengahkan itu. Selangor memerlukan suara pembangkang yang kuat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Dewan 2020 di sini hari ini.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PN, PH dan dua calon Bebas.
PN diwakili calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khairul Azhari Saut manakala PH diwakili Pang Sock Tao (DAP) selain Nyau Ke Xin sebagai calon Bebas dan Hafizah Zainudin pula mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM).
PRK kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang ditetapkan bagi pengundian sehingga Februari lalu, seramai 40,266 pengundi layak keluar mengundi hari pengundian awal, 7 Mei dan pilihan raya pada 11 Mei.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, PN tidak berdepan laluan mudah dalam PRK kali ini bagaimana ada petanda-petanda yang dilihat pakatan itu mempunyai potensi yang baik.
“Jika peratusan keluar mengundi tinggi, kita rasa peluang kita cerah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peluang lebih cerah dalam PRK kali namun perlu pastikan pengundi Melayu keluar lebih ramai untuk mengundi.
“Siapa boleh bawa lebih ramai pengundi dia ada peluang lah. Kita ada satu garis yang ditetapkan, kalau ia lepas, kita menang,” katanya.-UTUSAN










