PRK Kuala Kubu Baharu: Pang Sock Tao calon boleh menang - Anthony Loke - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Pang Sock Tao calon boleh menang – Anthony Loke

PANG Sock Tao
PANG Sock Tao (tengah) diapit Anthony Loke dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan pada PRK Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu.

Keputusan tersebut diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam Majlis Pengumuman Calon di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan sebentar tadi.

Sock Tao, 31, akan mempertahankan kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas oleh mendiang Lee Kee Hiong sebelum beliau meninggal dunia pada 21 Mac lalu.

Anthony Loke berkata, Sock Tao terpilih kerana kriteria yang dimahukan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), selain mahu meneruskan tradisi meletakkan calon wanita di kawasan tersebut sejak dipegang oleh ADUN terdahulu, mendiang Lee Kee Hiong.

“Calon yang kita pilih ini boleh menang, sekaligus dapat mengekalkan kerusi Kuala Kubu Baharu kepada pihak PH-BN.

“Saya berharap jentera pilihan raya daripada kesemua parti dapat membantu Sock Tao sepanjang kempen PRK,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Sock Tao menzahirkan penghargaan kepada PH-BN kerana memberikan kepercayaan kepadanya mewakili dua gabungan tersebut untuk menentang calon daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya supaya kerusi Kuala Kubu Baharu terus kekal milik PH-BN.

“Sekiranya menang, saya akan cuba membangunkan Kuala Kubu Baharu, seperti yang diusahakan oleh mendiang Kee Hiong sebelum ini.

“Dengan pengalaman bekerja di dua kementerian, iaitu di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTEC), saya yakin boleh melakukannya,” ujarnya.

Sock Tao berasal dari Ampang, Selangor dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kepujian) daripada Universiti Tenaga Nasional Berhad (UNITEN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) dilapor akan mengumumkan calon mereka pada malam esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN