PRK Kuala Kubu Bharu bakal uji erti setia kawan UMNO-DAP

PRK Kuala Kubu Bharu bakal uji erti setia kawan UMNO-DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan dijangka bakal menguji semangat setia kawan yang sebenar antara UMNO dan DAP.

Ini memandangkan, DAP yang sebelum ini pernah bermusuh dengan parti keramat kaum Melayu itu membantu calon Barisan Nasional (BN)-UMNO berkempen dalam PRK DUN Pelangai, Pahang sehingga berjaya memenangi kawasan itu pada tahun lalu.

Bagi penganalisis politik, jasa dan budi DAP kepada BN-UMNO wajar dibalas dengan membantu berkempen dalam PRK Kuala Kubu Bharu dan jika parti itu tidak mendapat ‘layanan’ yang setimpal, penganalisis politik tidak menolak hubungan kedua-dua parti keruh sehingga
menjejaskan struktur pentadbiran dalam Kerajaan Perpaduan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, kemenangan UMNO dalam PRK Pelangai dianggap sebagai ‘luar biasa’ dan keputusan sama wajar ditonjol dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

“Di sinilah kita bakal melihat sejauh mana tahap setia kawan UMNO dalam membantu DAP untuk PRK kali ini sebagaimana yang dilakukan DAP di DUN Pelangai.

“Jika UMNO tidak menunjukkan cara yang serupa, maka, tidak mustahil, kita akan melihat satu lagi ‘krisis’ hubungan antara kedua-dua parti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming dilaporkan mengharapkan semangat yang ditonjol parti itu ketika berkempen bagi kemenangan calon BN ketika PRK DUN Pelangai tahun lalu, dapat ditunjukkan semasa PRK DUN Kuala Kubu Bharu nanti.

Katanya, peranan dimainkan DAP yang berhempas-pulas ketika kempen PRK Pelangai lalu, berhasil meraih 98 peratus undi masyarakat Tionghoa atau Cina di kawasan yang dijaga parti itu walaupun calon BN ketika itu daripada UMNO.

Naib Pengerusi DAP itu berkata, pihaknya berterima kasih susulan komitmen tidak berbelah bagi diberi presiden serta timbalan presiden UMNO yang menyeru supaya parti komponen BN membantu calon dalam Kerajaan Perpaduan bertanding pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Pun begitu, parti-parti komponen dalam BN iaitu MIC dan MCA dikatakan memboikot atau tidak turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu jika kerusi berkenaan tidak ditandingi calon
daripada parti komponen BN.

Mengulas lanjut, Jamaie menjangka, DAP mengekalkan status quonya di DUN Kuala Kubu Bharu berdasarkan prestasi cemerlang penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong selama tiga penggal dan kebolehan DAP menang banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
lalu.

“Kuala Kubu Bharu adalah kubu kuat DAP. Jadi, saya tidak menolak kemungkinan kemenangan kekal kepada DAP.

“Apa yang harus dilakukan oleh BN tidak kiralah jika MCA atau MIC memboikot pilihan raya, namun UMNO mesti konsisten dengan pendirian awal menyertai Kerajaan Perpaduan untuk saling bekerjasama dan menangkan calon DAP,” katanya.

Dalam pada itu, Jamaie bersetuju bahawa isu harga barangan dan kaum akan menjadi bahan kempen dimainkan pembangkang untuk memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun, katanya, isu perkauman tidak boleh diguna kerajaan sebagai propaganda dan strategi kempen pilihan raya mengambil kira komposisi kepelbagaian parti serta kaum dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sudah tentu kerajaan akan melawan semula hujah-hujah pembangkang dalam apa jua cara,
tetapi bukan dengan memainkan isu perkauman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN