IPOH: Warga polis Perak menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut pada Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mewakili seluruh anggota PDRM Perak turut berdukacita di atas nahas tersebut yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM.
Menurutnya, mereka yang terkorban adalah wira-wira negara.
“Semoga roh wira-wira negara yang terkorban dalam nahas itu akan ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Perak di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5, di sini semalam.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat pada majlis tersebut.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’fifullah Shah; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Keberangkatan tiba baginda disambut Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
.Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak warga PDRM Perak.
Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara meninjau gerai makanan yang dikendalikan 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Perak sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api. – UTUSAN










