PUTRAJAYA: Penyertaan pelajar dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) meningkat 33.15 % dalam tempoh lima tahun kepada 458,249 orang tahun lalu berbanding 344,153 pada 2020.
Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET), Dr. Azmir Mohd. Yunus berkata, peningkatan itu mencerminkan perubahan corak pemilihan pendidikan dalam kalangan generasi muda yang mengutamakan kebolehpasaran pekerjaan.
Penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setara ke institusi TVET turut melepasi sasaran 55 % di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) apabila mencatat 56.86 % atau 230,721 pelajar tahun lalu.
“Jumlah itu meningkat secara konsisten daripada 130,440 pelajar pada 2020 kepada 212,022 pelajar pada 2024 sebelum mencecah 230,721 pelajar tahun lalu dengan TVET bukan lagi dilihat sebagai laluan alternatif, sebaliknya semakin diiktiraf sebagai pilihan utama pendidikan dan kerjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu, seramai 60,367 pelajar baharu direkodkan mendaftar di institusi TVET menerusi Data Raya TVET.
Angka tersebut masih bersifat sementara memandangkan proses pengambilan pelajar bagi sesi Julai 2026 masih berlangsung dan dijangka dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.
Azmir berkata, perubahan kecenderungan anak muda memilih TVET turut didorong prospek kerjaya yang lebih luas, kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi serta permintaan berterusan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran.
Antara bidang pengajian yang mencatat kemasukan tertinggi ialah elektrik dan elektronik, perniagaan, kewangan dan pentadbiran, mesin dan peralatan, pembinaan serta infrastruktur, selain automotif.
Turut menjadi pilihan ialah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), makanan dan minuman, teknologi logam dan kimpalan, tekstil, pakaian dan kulit serta pendidikan.
Selain peningkatan kemasukan, jumlah graduan TVET juga menunjukkan perkembangan positif apabila meningkat kepada 205,795 orang pada tahun lalu berbanding 122,836 graduan pada 2020.
Menurut Azmir, kadar kebolehpasaran graduan TVET kekal tinggi dengan 95.9 peratus daripada mereka berjaya memperoleh pekerjaan, sekaligus membuktikan latihan berasaskan kemahiran memenuhi kehendak pasaran buruh.
Sebelum ini, bekas Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin membangkitkan kebimbangan terhadap kecenderungan sebahagian generasi muda memilih memasuki alam pekerjaan lebih awal tanpa melanjutkan pengajian kerana dikhuatiri menjejaskan pembangunan modal insan negara.
Mengulas perkara itu, Azmir berkata, peningkatan kemasukan TVET membuktikan semakin ramai anak muda memilih menyambung pengajian, namun melalui laluan kemahiran yang lebih memenuhi kehendak industri.
“Perkembangan ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap ekosistem TVET dan keberkesanan pelbagai inisiatif kerajaan dalam memperluaskan akses kepada pendidikan berasaskan kemahiran.
“Ia sekali gus menyokong aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










