KLUANG: Seorang murid sekolah rendah maut selepas mengalami kecederaan parah dipercayai akibat dilanggar bas sekolah yang dinaikinya dalam insiden kemalangan di Taman Sri Lalang, di sini petang semalam.
Kemalangan berlaku pada pukul 4.20 petang ketika murid lelaki berusia tujuh tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan sekolah agama berhampiran kawasan kediaman tersebut.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Muhammad Umar Mohd Faaiz turun daripada bas sekolah dan berjalan menuju ke rumah kediamannya.
“Pada masa sama bas sekolah yang dipandu wanita berusia 36 tahun bergerak ke hadapan dan membelok ke kiri tanpa menyedari kanak-kanak tersebut berada berhampiran sehingga menyebabkan perlanggaran.
“Akibat kejadian itu, kanak-kanak tersebut telah terjatuh ke atas jalan sehingga mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Tambah Bahrin, pemandu bas telah ditahan untuk ujian saringan air kencing.
“Wanita itu pengsan dipercayai trauma selepas menyaksikan kejadian itu yang kini menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
“Mayat mangsa kemudiaannya dirujuk ke HEBHK dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN










