Perdana Menteri arah usir serta-merta rakyat Israel

Perdana Menteri arah usir serta-merta rakyat Israel

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama murid sekolah pada Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Sekolah Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Yayasan ERM di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana-mana rakyat Israel dengan dua ke­rakyatan yang dikenal pasti masuk ke negara ini termasuk untuk menyertai Network School di Forest City, Johor akan dihantar pulang dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya semua agensi berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan lain-lain sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan berkenaan.

Pada masa sama, katanya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir akan memberi jawapan berhubung dakwaan itu dalam masa terdekat.

“Kita tidak izinkan (keha­diran warganegara Israel ke Malaysia), kalau ada, tindakan mesti diambil.

“Kalau ada rakyat Israel (masuk ke Malaysia), kita akan usir segera,” katanya selepas Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Sekolah Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Yayasan ERM di sini, semalam.

Perdana Menteri juga memberi jaminan perkara tersebut berada dalam perhatian semua agensi penguatkuasaan yang terlibat bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

Beliau mengulas isu operasi Network School di Forest City yang menjadi perhatian selepas Kerajaan Negeri Johor menyuarakan kebimbangan ber­hubung dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, warganegara Israel berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

Baru-baru ini, tular beberapa hantaran termasuk video di laman sosial Threads yang mempersoalkan tujuan sebenar Network School beroperasi di Forest City, yang didakwa turut disertai warga Israel.

Kelmarin, Kementerian Da­lam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan memaklumkan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh terhadap isu operasi Network School di Forest City, di Johor Bahru itu.

“KDN memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen dan penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, KDN melalui JIM, PDRM dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh termasuk terhadap identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN