PM umum RM80j tubuh Pusat Jantung Negara di Sabah

PM umum RM80j tubuh Pusat Jantung Negara di Sabah

ANWAR Ibrahim (tiga kanan) bersama Juhar Mahiruddin (tengah), Fadillah Yusof (kanan) Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) dan Hajiji Noor (kiri) semasa hadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM80 juta bagi menubuhkan Pusat Jantung Negara di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pusat jantung kedua terbesar di negara ini akan berpusat di HQE Kota Kinabalu dan akan dilengkapi dengan tenaga pakar dan jururawat terlatih.

Di Sabah, perkhidmatan kardiologi mempunyai klinik jantung, makmal, dewan bedah, tiga pakar dan 120 jururawat terlatih.

“Saya tidak fikir ini mencukupi untuk keperluan rakyat Sabah maka, dengan ini saya umumkan bertempat di Kompleks Hospital Besar Kota Kinabalu, kemudahan khas..blok khas untuk jantung negara yang disebut sebagai Pusat Jantung Negara Sabah. 

“Dengan ini, kita akan tambah segera tiga pakar dan jururawat terlatih, peruntukan segera RM80 juta untuk memulakan projek ini. 

“Pusat Jantung kedua terbesar di negara kita akan berpusat di Hospital Besar Kota Kinabalu,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Anwar berkata, penubuhan pusat tersebut dilakukan setelah mengambil kira masalah kesihatan rakyat rakyat di Sabah yang terpaksa menaiki penerbangan untuk mendapatkan rawatan penyakit jantung di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, di Sarawak, atas cadangan Premier Sarawak, kerajaan bersetuju memberi dana awal untuk tubuhkan Institut Kanser Sarawak di Kuching.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah institut kanser di negeri berkenaan.

Majlis sambutan Aidilfitri Madani itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag; Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan menteri Kabinet Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN