PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) bakal berhadapan dengan cabaran sukar untuk mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu ekoran persekitaran politik yang tidak lagi memihak kepada gabungan tersebut.
Bendahari DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming berkata, DAP akan memperoleh majoriti kurang daripada 1,000 undi sekiranya kembali memenangi kerusi itu.
Kata beliau, DAP memerlukan strategi dan mesej yang baik bagi mengekalkan kemenangan mereka di DUN tersebut sejak 2013.
“Jika DAP dapat mengekalkan kerusi tersebut, jumlah perbezaan undi akan menjadi sangat dekat dengan margin kurang daripada 1,000 undi berbanding dengan majoriti 4,119 undi pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.
“Persekitaran politik kini tidak memihak kepada PH tetapi dengan strategi kempen dan mesej yang dapat diselaraskan dengan DAP, maka mungkin akan hanya lulus ujian ini tetapi dengan margin yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu dijadual diadakan pada 11 Mei ini dan penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandang kerusi tersebut, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi berkata, terdapat beberapa sebab mengapa PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan memberi pelbagai cabaran kepada DAP.
“Adalah tidak tepat untuk mengatakan ramai penyokong DAP dan PH kecewa dengan prestasi kerajaan perpaduan yang begitu perlahan dalam melaksanakan reformasi institusi, dalam naratif ekonomi yang lemah (walaupun pelaburan langsung asing (FDI) serta pertumbuhan ekonomi terus sihat) terutama berkaitan dengan kenaikan kos sara hidup dan menjalankan perniagaan.
“Ini termasuk dengan pergaduhan terbuka sesetengah pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN) terutama sejak beberapa minggu lalu mengenai isu stoking KK Mart yang tertera kalimah Allah,” jelasnya.
Tambahnya, pengundi bukan Melayu kini sedang begerak ke satu arah yang boleh menyebabkan DAP menjadi MCA 2.0 dalam suatu jangka masa nanti.
“Faktor-faktor ini bermakna peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi bukan Melayu berkemungkinan akan berkurangan dengan ketara dalam PRK ini terutamanya memandangkan keputusan nanti tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri Selangor.
“Terdapat juga kemungkinan beberapa kempen untuk meminta pengundi India ‘memboikot’ PRK ini mendapat tarikan.
“Sesetengah pengundi bukan Melayu juga berkemungkinan mengundi mereka calon Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda protes kepada DAP dan kerajaan perpaduan. Bagaimanapun, jumlah tersebut mungkin kecil,” katanya. – UTUSAN









