Pertimbang pengambilan graduan TVET sedia ada

Pertimbang pengambilan graduan TVET sedia ada

P SRI Ganes (kanan) menyaksikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyempurnakan majlis penyerahan kenderaan EV baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan pengambilan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sedia ada di pasaran ketika ini dalam usaha mencapai keberkesanan penetapan gaji premium pada kadar RM4,000 sebulan.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes bagaimanapun berkata, kerajaan perlu meneliti beberapa ketetapan sebelum membuat sebarang keputusan drastik.

“Kita kena melihat perkara ini secara mendalam kerana terdapat baik buruknya cadangan tersebut. Dari segi kebaikannya, TVET yang sebelum ini dianggap sebagai pilihan kedua akan menjadi rebutan sebagai satu program atau laluan utama kepada golongan muda.

“Namun dari segi pelaksanaannya, langkah ini akan membebankan pemain industri, graduan dan juga institusi kerajaan. Ini kerana apabila industri ditetapkan untuk membayar gaji premium, maka harapan yang diletakkan majikan ke atas graduan adalah berdasarkan gaji yang dibayar.

“Jadi dalam konteks ini, peralatan di institusi-institusi latihan kerajaan perlu ditambah baik dan penambahbaikan ini memerlukan kepakaran tenaga mahir,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sri Ganes berkata, kerjasama antara pihak awam dan swasta (PPP) penting dalam memastikan visi untuk mencapai gaji premium RM4,000 dapat dicapai dalam masa terdekat.

Ini kerana, katanya, tanpa sokongan daripada industri, pelaksanaan TVET tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan impak yang tinggi.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil tenaga sedia ada atau graduan TVET dalam pasaran ketika ini untuk meningkatkan kemahiran.

“Oleh itu, graduan sedia ada menjadi tonggak yang dapat membantu kerajaan membangunkan sumber tenaga manusia kepada industri,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN