Penipuan rumah inap boleh malukan nama negara - Raja Ilya

Penipuan rumah inap boleh malukan nama negara – Raja Ilya

RAJA ILYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti media sosial, Raja Ilya terpaksa berputih mata selepas sejumlah RM1,000 lesap dikebas seorang pemilik rumah inap yang menggunakan platform tempahan dalam talian terkemuka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Raja Ilya berkata, dia yang membuat tempahan dan selesai membuat pembayaran sejak Sabtu lalu untuk tempoh seminggu tidak dapat menginap di kediaman yang ditempah atas alasan tidak munasabah.

“Sejak dua minggu lepas saya sudah pulang ke Malaysia untuk menyambut hari raya bersama keluarga di sini. Selesai beraya di kampung, saya ke Kuala Lumpur untuk menghabiskan masa seminggu di sini selain menguruskan beberapa perkara sebelum pulang ke Australia, Jumaat ini.

“Bagaimanapun, saya tak dibenarkan masuk ke dalam ‘rumah’ tersebut oleh pemilik atas alasan saya tak datang pada hari yang ditetapkan. Saya sampai lewat malam kerana urusan keluarga namun itu tidak patut jadi isu kerana menerusi polisi penginapan, tidak disebut pukul berapa penyewa kena datang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Selain itu, kata Raja Ilya, dia terkilan kerana pemilik kediaman enggan memberi kerjasama dengan tidak menjawab panggilan telefon dan mesej selain tidak menggembalikan semula wang tempahan.

“Saya menunggu lama di bawah kediaman tersebut dan pihak sekuriti juga tidak dapat berbuat apa-apa. Malah, pihak sekuriti memaklumkan, saya bukan mangsa pertama yang kena begini.

“Rupa-rupanya dah ramai yang terkena dan jadi mangsa orang yang sama. Saya ada buat rungutan di laman sesawang platform itu tetapi jawapan yang diterima sangat menghampakan. Saya juga dah buat laporan polis semalam di Balai Polis Tun Razak dan berharap pemilik tersebut dikenakan tindakan undang-undang segera.

“Ramai yang jadi mangsanya dan bayangkan berapa banyak ‘keuntungan’ yang telah dijana jika dia berterusan menggunakan modus operandi ini dan menipu lebih ramai orang,”katanya.

Pada masa yang sama, kata Raja Ilya, dia bimbang sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil, perkara ini boleh menjejaskan reputasi pengurusan rumah inap di Malaysia memandangkan ramai pelancong luar menggunakan aplikasi dalam talian sebagai jalan mudah.

“Itu sebab saya buat laporan polis. Ia bukah sebab saya nak duit saya dipulangkan semula semata. Tetapi hal ini amat menyakitkan hati kerana kita tak tahu berapa ramai lagi orang akan jadi mangsanya. Malulah nama Malaysia kalau pelancong luar pun terkena,” katanya.

Kelmarin, pelakon berusia 38 tahun ini mendedahkan menjadi mangsa scammer pengurusan sebuah rumah inap di ibu negara dengan satu laporan polis telah dibuat bagi mendapatkan semula wang tempahan.

Raja Ilya yang menetap di Australia, difahamkan mengambil kesempatan bercuti di Malaysia bersama suami, Trent Garrett dan anaknya Talita Love, 2, selepas meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Taiping, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN