BESUT: Seorang penghantar barang ditemukan lemas selepas motosikal ditungganginya terjunam ke dalam tali air di Kampung Gerai, Jerteh, dekat sini, kira-kira pukul 8.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, insiden itu menyebabkan mangsa, Wan Muhammad Khuzaimie Abu Sepian, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas.
“Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego LC dari kedai runcit di Kampung Gerai untuk pulang ke kediaman keluarganya di Kampung Gerai Tua.
“Setibanya di lokasi motosikal mangsa dikatakan telah terbabas ke sebelah kanan bahu jalan sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam tali air berdekatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, ekoran kemalangan itu, mangsa telah dihanyutkan arus sejauh satu kilometer dari lokasi kejadian.
Tambahnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN










