Pengguna jalan raya disaran manfaat kod QR APM - Utusan Malaysia

Pengguna jalan raya disaran manfaat kod QR APM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pengguna jalan raya disaran memanfaatkan kemudahan imbasan kod QR yang disediakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) jika berlaku kecemasan sepanjang musim perayaan ini.

Pengarah APM Terengganu, Kolonel Mohd. Rosman Abdullah, berkata, kemudahan itu disediakan bagi membantu orang ramai mengambil langkah awal sebelum ketibaan agensi menyelamat.

Menurut beliau, APM akan membuat edaran pelekat kod QR kepada pengguna jalan raya menerusi Ops Prihatin yang bermula 5 sehingga 14 April sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Dengan mengimbas kod QR ini, kita ada memaparkan pelbagai maklumat penting termasuk langkah-langkah awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan.

“Selain itu juga turut disediakan langkah pencegahan jenayah ketika musim perayaan seperti meninggalkan kediaman dalam keadaan baik serta memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Kita akan mengedarkan kod QR ini kepada orang ramai semasa membuat rondaan dan pemantauan di jalan persekutuan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 sepanjang Ops Prihatin.

“APM berharap orang ramai memanfaatkan kemuduhan disediakan ini selain mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya selepas Majlis Pelancaran Ops Prihatin Aidilfitri di Pejabat APM negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd. Rosman memberitahu seramai 96 pegawai dan anggota APM Terengganu akan terlibat dengan rondaan di jalan persekutuan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 sepanjang Ops Prihatin.

Menurut beliau, sejak Ops Prihatin dilancarkan pada 5 April lalu, pihaknya telah menerima laporan sebanyak nam kes melibatkan 13 mangsa di daerah Setiu, Dungun dan Besut.

“Laporan diterima melibatkan kes terpencil seperti kerosakan tayar atau kehabisan minyak dan kita akan bantu sebaik mungkin selain bekerjasama dengan agensi lain bagi penyuraian aliran trafik.

“Walaupun dianggap kes kecil, ia memberi makna yang besar kepada pengguna jalan raya dan kita akan bantu sehabis baik untuk meringankan beban orang ramai walau di mana mereka berada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN