Peminat berbalah isu gelaran Biduanita Negara - Utusan Malaysia

Peminat berbalah isu gelaran Biduanita Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan penganugerahan gelaran Biduanita Negara kepada penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza menuai pelbagai reaksi apabila segelintir netizen berpandangan gelaran tersebut selayaknya diberikan dahulu kepada penyanyi bertaraf legenda, Datuk Sheila Majid.

Pemilik akaun X, Fahmi Mustaffa berpandangan perkara itu berdasarkan hasil kerja dan impak yang ratu jazz negara berikan kepada industri seni.

“Patut bagi dekat Sheila Majid dulu. Tak perlu tengok kuantiti anugerah semata-mata, tapi hasil kerja dan impaknya,” komennya.

Perdebatan mengenai pemberian gelaran berkenaan menjadi rancak selepas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil seperti dilaporkan Utusan Malaysia memaklumkan akan meneliti sebarang usaha untuk mempercepatkan proses penganugerahan gelaran Biduanita Negara kepada Siti Nurhaliza.

Kata beliau, perkara itu masih dibincangkan justeru belum ada sebarang perkembangan yang boleh dikongsikan dari pihaknya.

Seorang lagi pengguna platform X yang juga peminat Siti Nurhaliza turut bersetuju dengan penganugerahan gelaran Biduanita Negara yang sepatutnya lebih dahulu diberikan kepada Sheila.

“Walaupun aku minat dekat Siti Nurhaliza, tapi aku pun rasa Sheila Majid lebih utama yang perlu diberikan,” kongsinya.

Sementara itu pengguna platform X, Nafiz Nazly menerusi komennya di platform berkenaan berpandangan Sheila bukan calon yang layak menerima penganugerahan tersebut kerana baginya penyanyi berkenaan tidak menghiburkan semua orang.

“Maaf, pada saya SM (Sheila Majid) tidak layak. Dia tidak menghiburkan sangat semua orang.

“Kalau Siti Nurhaliza, setiap lapisan dan generasi kagum dengan lagu dan nyanyian dia,” tulisnya.

Dalam pada itu usaha Utusan Malaysia mendapatkan maklum balas Fahmi berhubung isu terbabit gagal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN