GERIK: Seorang lelaki tidak menyangka pelukan dan genggaman erat diberikan menantunya sebelum pulang berhari raya ke Terengganu adalah yang terakhir apabila dia maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli, semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.20 tengah itu, Kamizan Kasimon, 42, dan isteri, Noor Asmah Mat Zainal, 38, maut akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Proton Persona dinaiki bersama dua anak mereka terlibat nahas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dinaiki enam sekeluarga.
Bapa Noor Asmah, Mat Zainal Nordin, 66, berkata, menantunya itu dilihat bersikap luar biasa hingga menyebabkan terdetik perasaan tidak enak di dalam hatinya.
Malah katanya, perwatakan anak perempuannya yang mesra disapa ‘kak mah’ juga berbeza berbanding kebiasaan apabila tidak mesra dan gemar menyendiri.
“Semasa mereka bersiap untuk pulang ke Terengganu, saya pula berada di luar membersihkan kawasan sekitar rumah. Ketika itu hati terdetik rasa pelik sebab kak mah tidak datang bersembang, dia buat tidak tahu sahaja dengan saya.
“Ketika bersalaman pun, Kamizan dilihat lain, dia genggam tangan saya kuat-kuat dan peluk erat serta cium. Berulang kali dia minta maaf sebelum balik raya.
“Apabila jadi perkara seperti ini, barulah saya sedar rupa-rupanya itulah petanda yang mereka akan meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik di sini hari ini.
Menurut Mat Zainal, keluarga anak sulungnya itu memulakan perjalanan pulang ke Terengganu pada pukul 10 pagi dan dia dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut sekitar pukul 3.30 petang.
Katanya, pasangan suami isteri itu merancang menyambut Aidilfitri di kampung Kamizan di Kampung Tanjung Sabtu, Kuala Terengganu, Terengganu sebelum pulang ke rumah mereka di Kampung Laneh/Paya Lintah, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar pada Jumaat ini.
“Pada Ahad ini, anak lelaki saya akan melangsungkan perkahwinan malah Asmah dan suaminya juga telah siap menggubah wang hantaran untuk adiknya itu.
“Majlis perkahwinan itu tetap diteruskan kerana persiapan telah dibuat cuma ala kadar, tidaklah lagi ceria,” katanya.
Tambahnya, kehilangan dua insan tersayang itu juga meragut keceriaan dalam menyambut Lebaran tidak lama lagi.
“Selalunya dua hari terakhir Ramadan kami sudah sibuk membuat persiapan raya tapi sekarang rasa tiada semangat. Saya memang betul-betul terasa kehilangan mereka.
“Apa pun, yang penting sekarang adalah keadaan dua anak arwah iaitu Nur Arissa Sofia dan Muhammad Ammar yang masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. Saya harap mereka tabah kehilangan ibu bapa sekelip mata,” katanya.
Jenazah Allahyarham Kamizan dan isteri, Noor Asmah dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang, Padang Rengas di sini.
Dalam kejadian sama, pemandu Toyota Innova, Aminuddin Othman, 54, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) di Tanah Merah, Kelantan turut parah dan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.20 malam ketika menerima rawatan di Hospital Taiping. – UTUSAN










