GEORGE TOWN : Pelet plastik kitar semula dari Malaysia dikesan mengandungi kandungan bahan kimia toksik yang dikhuatiri boleh mengancam kesihatan manusia.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, sebagai ahli International Pollutants Elimination Network (IPEN), CAP telah mengumpul plastik kitar semula yang dipanggil pelet plastik dan menghantarnya untuk dianalisis kandungan bahan kimia toksik.
Katanya, ujian itu telah dijalankan oleh sekumpulan saintis di Sweden, Jerman serta Denmark dan data tersebut telah diterbitkan baru-baru ini.
“Dalam sampel pertama dari Malaysia, sebanyak 107 bahan kimia telah dikesan, manakala dalam sampel kedua pula, sebanyak 111 bahan kimia telah dikesan dalam pelet plastik kitar semula.
“Sejumlah 95 bahan kimia terdapat dalam kedua-dua sampel dan daripada 30 bahan kimia yang dikesan pada kepekatan tertinggi, separuh adalah kesan daripada peringkat pengeluaran pelbagai jenis plastik.
“Sebanyak 30 bahan kimia yang dikesan juga mengandungi beberapa bahan bioaktif termasuk racun perosak seperti chlorpyrifos, dan farmaseutikal selain tiga Hidrokarbon Aromatik Polisiklik (PAH),” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohideen berkata, dalam perbincangan ketika Perjanjian Plastik Global, sesetengah negara memilih pendekatan berbeza iaitu bergantung kepada kitar semula plastik sebagai kaedah penting untuk menyelesaikan krisis bahan tersebut.
Tambahnya, bahan kimia yang terdapat dalam plastik kitar semula mungkin mendedahkan pengguna kepada kanser, penyakit jantung, gangguan pembiakan, diabetes, obesiti serta keadaan kesihatan serius yang lain.
“Plastik kitar semula juga boleh mengandungi bahan cemar kimia daripada cara penggunaan plastik asal. Sebagai contoh, jika bekas plastik racun perosak dikitar semula, racun perosak toksik boleh berakhir di dalam bahan kitar semula,” katanya yang memberitahu, proses kitar semula plastik boleh mencipta bahan toksik baharu, menambahkan lebih banyak bahan kimia kepada plastik kitar semula.
Dalam pada itu, kata Mohideen, kawalan antarabangsa diperlukan lanjutan daripada perdagangan antarabangsa yang meluas dalam bahan kimia, plastik dan sisa plastik.
“Perjanjian Plastik baharu akan menjadi instrumen penting untuk menangani bahan kimia toksik dalam plastik dalam pelbagai cara dan untuk berbuat demikian, adalah penting bahawa Perjanjian Plastik Global ini mengandungi peruntukan kawalan yang kukuh dan mengikat secara sah.
“Ia merangkumi penyingkiran bahan kimia toksik sepanjang kitaran hayat penuh plastik, pendedahan wajib maklumat mengenai bahan kimia dalam plastik yang boleh diakses oleh umum dan langkah untuk mengawal pengeluaran plastik,” katanya.-UTUSAN











