KOTA KINABALU: Petani dan pekebun kecil di Tongod yang tersenarai sebagai salah sebuah daerah termiskin perlu berbelanja sehingga RM600 setiap kali hendak keluar membawa hasil pertanian.
Itu realiti kehidupan yang dilalui rakyat yang berada di kawasan pedalaman Sabah.
Datuk Masiung Banah (Gagasan Rakyat-Kuamut) berkata, biarpun kerajaan Persekutuan cuba membantu dengan melaksanakan penanaman koko di Mukim Kuamut di Tongod, masalah kemudahan infrastruktur menyukarkan penduduk setempat untuk membawa keluar hasil tanaman mereka.
“Untuk sampai ke kawasan itu, kena menaiki perahu dan untuk keluar bagi membawa hasil tanaman koko pula, mereka kena berbelanja RM600..bayangkan kos ditanggung.
“Begitu juga dengan Kampung Inarad, saya telah minta laporan penuh daripada Pejabat Daerah Tongod, salah satu faktor dan penyumbang kepada kadar angka kemiskinan di Tongod, mereka tinggal di tempat-tempat yang tiada kemudahan infrastruktur jalan raya.
“Dengan ini, saya cadangkan jika ingin menyelesaikan masalah kemiskinan di Tongod, buat kemudahan jalan raya ke Kampung Inarad, Tongod; ke Kampung Bobotong, Kuamut dan berikan kemudahan elektrik dan air,” katanya semasa sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurut Masiung, pembangunan infrastruktur adalah tanggungjawab kerajaan jadi, untuk memudahkan pekebun-pekebun kecil membawa keluar hasil, kemudahan infrasttukrur asas perlu segera dibangunkan.
Beliau akui memang ada usaha dan program-program oleh kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menangani masalah kemiskinan. Bagaimanapun, program-program itu tidak akan berkesan jika tidak diiringi pembangunan kemudahan infrastruktur jalan raya yang baik. –UTUSAN










