PBAPP sedia gerak 13 lori tangki elak isu air ketika Aidilfitri

PBAPP sedia gerak 13 lori tangki elak isu air ketika Aidilfitri

K. PATHMANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 13 lori tangki akan digerakkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebagai langkah siap siaga untuk mengelak atau meminimumkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang ketika Aidilfitri nanti.

Kesemua lori tangki itu termasuk tiga lori bersaiz ‘jumbo’ yang berkapasiti 40,000 liter setiap satu itu akan ditempatkan di beberapa lokasi termasuk sekitar kawasan kejiranan di Seberang Perai Selatan (SPS) selain beberapa kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di Relau dan Bukit Belah, Daerah Barat Daya (DBD).

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, rasional utama pelaksanaan ‘Pelan Kontingensi Air Hari Raya Aidilfitri 2024’ PBAPP adalah jangkaan penggunaan air yang tinggi sebelum serta semasa musim perayaan yang panas dan kering.

“Pada Februari 2024, PBAPP merekodkan purata angka penggunaan air yang tinggi iaitu 927 juta liter sehari (JLH) di Pulau Pinang. Harap maklum bahawa 927 JLH adalah 50 JLH lebih tinggi daripada purata tahunan 877 JLH untuk 2023.

“Jadi, PBAPP menjangkakan bahawa penggunaan air ketika tempoh ‘balik kampung’ dan perayaan Hari Raya Aidilfitri, dari 7 hingga 14 April ini mungkin bersamaan atau melebihi 927 JLH.

“Disebabkan itu juga, kami menggerakkan kumpulan lori tangki air sebagai langkah pencegahan dan mitigasi, bersama-sama 47 tangki air statik dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,000 liter. Jika perlu, penghantarannya akan diperluaskan (dengan lebih banyak lori tangki) atau dilanjutkan (dalam tempoh yang lebih lama), untuk menangani permintaan air,” katanya di sini, hari ini.

Jelas Pathmanathan, selain Pulau Pinang, hampir semua negeri di Semenanjung temasuk Johor dan Selangor juga melaksanakan pelan kontingensi air perayaan yang sama berikutan keadaan cuaca dan senario bekalan air semasa.

“Seboleh-bolehnya, PBAPP mahu mengelakkan gangguan bekalan air. Sehubungan itu, kita juga ingin memohon kerjasama daripada pengguna-pengguna air untuk menggunakan air dengan berhemat ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana Pulau Pinang masih mengalami cuaca panas dan kering yang menyebabkan simpanan air empangan berkurangan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Pathmanathan memberitahu, setakat semalam, paras air Sungai Muda di Kedah iaitu sumber air mentah utama Pulau Pinang, adalah 2.12 meter (m) di muka sauk Lahar Tiang PBAPP; melebihi ‘paras selamat’ iaitu 2.0m.

“Air mentah yang diabstrak dari Sungai Muda pula diguna untuk mengeluarkan air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan ketika ini, kira-kira 85 peratus daripada 927 JLH air terawat yang digunakan oleh 689,786 pengguna air Pulau Pinang pada Februari lalu telah dikeluarkan di loji rawatan air tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Pathmanathan menambah, buat masa ini, keseluruhan status bekalan air di Pulau Pinang adalah terkawal.

“Ramalan cuaca antarabangsa dan tempatan menunjukkan bahawa sepatutnya ada hujan yang lebih banyak di Pulau Pinang dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang, berikutan jangkaan peralihan kepada fenomena La Niña dan ketibaan musim peralihan monsun.

“Bagaimanapun, PBAPP akan terus beroperasi pada status kesiapsiagaan yang tinggi sehingga hujan sebenar meningkatkan kapasiti efektif semua empangan utama yang menjejaskan bekalan air di Pulau Pinang,” katanya yang berharap semua pengguna air di Pulau Pinang dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus sehingga Jun ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN