Pas anggap kelulusan akademik calon PN bukan isu besar

PRK KKB: Pas anggap kelulusan akademik calon PN bukan isu besar 

MOHD. Amar Nik Abdullah (tengah) menyempurnakan perasmian rumah contoh pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Kota Jembal Fasa 4 di Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas menganggap kelulusan akademik calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut bukan isu besar dan tidak akan memberi kesan kepada peluang gabungan itu mencapai kemenangan.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, mereka yang biasa dengan sistem universiti pasti tahu kelulusan akademik Khairul Azhari adalah betul dan sememangnya ditawarkan oleh universiti tempatan.

Menurutnya, hal ini kerana kelulusan itu diperakui dan mendapat kelulusan dewan senat universiti berkenaan.

“Lagipun beliau (Khairul Azhari) masuk dengan syarat kelayakan. Jadi tiada siapa boleh mempertikaikan kelulusan akademiknya kerana tindakan itu seolah-oleh mempertikaikan universiti berkenaan.

“Tambahan pula universiti berkenaan adalah sebuah universiti kerajaan yang mempunyai barisan senatnya sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Kota Jembal Fasa 4 di Kota Jembal, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, beliau turut merujuk perkara berkenaan kepada beberapa kenalan di beberapa universiti tempatan dan diakui tiada sebarang masalah berkenaan kelulusan akademik itu dan tidak sepatutnya menjadi isu besar.

“Jadi bagi kami tiada sebarang masalah dan mereka yang bercakap mengenai isu tersebut sebenarnya tidak tahu apa-apa kerana pada masa kini hampir semua universiti mempunyai tawaran sebegitu.

“Kita merasakan ada potensi yang besar untuk kita menang kerana calon ini adalan calon Melayu dan belum pernah ada calon Melayu bertanding di DUN Kuala Kubu Bharu sebelum ini. Tambahan pula dengan suasana politik semasa,” ujarnya.

Mohd. Amar berkata, PN tidak mempunyai sebarang masalah berkenaan larangan penggunaan isu 3R sepanjang tempoh kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

“Kita (PN) tiada masalah sebab kita tidak menggunakannya pun (isu 3R). Yang banyak guna sebenarnya kerajaan (Kerajaan Perpaduan) dengan menakut-nakutkan rakyat… ugut itu ini… semua pakai 3R.

“Macam pemilihan Pang Sock Tao sebagai calon DAP di DUN Kuala Kubu Bharu yang dibuat atas desakan kaum Cina di situ. Bukankah itu sendiri boleh dianggap isu 3R? Kerana pengundi di situ bukan kaum Cina sahaja, malahan kaum Melayu masih lagi pengundi majoriti di situ,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN