Operasi carilamat nelayan Thailand dikhuatiri lemas dihentikan - Utusan Malaysia

Operasi carilamat nelayan Thailand dikhuatiri lemas dihentikan

ANGGOTA Maritim Malaysia melakukan pencarian nelayan Thailand yang dikhuatiri lemas di perairan Kemaman, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) seorang nelayan warganegara Thailand yang dikhuatiri lemas ketika keluar menangkap ikan di perairan Kemaman terpaksa ditamatkan selepas tiga hari pencarian.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, operasi tersebut ditamatkan kira-kira pukul 7 petang semalam selepas tiada sebarang petunjuk positif mengenai kehilangan Abdullah Dueramee, 48.

Menurutnya, pencarian mangsa selama tiga hari melibatkan tiga aset Maritim Malaysia dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dengan keluasaan pencarian 89.6 batu nautika persegi dari lokasi terakhir mangsa dilihat di sekitar perairan Kemaman.

“Bagaimanapun, pihak Maritim Malaysia akan terus melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan rutin.

“Kita akan mengambil tindakan lanjut sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu,” katanya yang turut dibantu komuniti nelayan.

Ariffin berkata, pihaknya turut meminta kerjasama komuniti nelayan untuk segera menghubungi pasukan penyelamat sekiranya terdapat sebarang objek yang dipercayai manusia.

Dalam pada itu, Ariffin turut menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 tengah hari pada Ahad, Abdullah dikatakan terjun dari bot untuk membuang tali yang terbelit di bahagian kipas bot yang dinaiki bersama rakannya, Muhammad Madiyoh, 57.

Kehilangannya disedari rakannya selepas mendapati dia tidak timbul selepas beberapa kali selaman dilakukan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN