KANGAR: Nilai pengeluaran harumanis Perlis tahun ini dianggarkan mencecah RM44.48 juta dengan jangkaan pengeluaran hasil 1,779,21 tan metrik.
Nilai pengeluaran hasil tersebut menunjukkan peningkatan cukup ketara berbanding tahun lalu iaitu sekitar RM31.08 juta.
Keluasan kawasan tanaman harumanis di negeri ini adalah sebanyak 1,745.79 hektar manakala keluasan berhasil sekitar 1,611.59 hektar membabitkan 2,693 pengusaha.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, jangkaan hasil tersebut berdasarkan pengeluaran bunga pokok harumanis sebanyak 80 peratus.
Bagaimanapun katanya, setelah melepasi fasa anthesis dan pembentukan putik buah, hanya 75 peratus kelekatan yang berjaya menjadi putik buah.
“Berdasarkan peratus pengeluaran bunga dan kelekatan putik buah tersebut, kita jangka hasil adalah sebanyak 1,779,21 tan metrik dengan nilai pengeluaran sebanyak RM44.48 juta,” katanya pada majlis pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis 2024 di Masjid Tuanku Syed Putra di sini semalam.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan putera baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Dalam pada itu, Razali berkata, apabila tiba musim harumanis terdapat segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan dengan memasarkan buah yang kurang berkualiti kepada pelanggan.
“Hal demikian menyebabkan reputasi mempelam harumanis Perlis terjejas. Apa peniaga yang menggunakan nama mangga harumanis Perlis pada mangga yang lain sebagai taktik memperdayakan pembeli.
“Tindakan seperti ini mencemarkan nama baik negeri Perlis sebagai pengeluar harumanis Perlis. Saya menekankan agar pembeli terlebih dahulu mengenali ciri-ciri buah harumanis dan mendapatkan maklumat yang tepat dari Jabatan Pertanian.
“Agensi berkaitan juga digalakkan bekerjasama turun padang bagi memantau penjualan buah ikonik Perlis ini. Sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan, tindakan tegas perlu diambil,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, musim pengeluaran harumanis musim ini seiring dengan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 sekali gus pengusaha diminta mengambil peluang tersebut mempromosikan produk berkenaan.-UTUSAN










