GEORGE TOWN : Tindakan usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memuat naik klip video lagu terbaharu bertajuk ‘Love Raya’ yang memaparkan sekumpulan lelaki berkelakuan aneh dan tidak sopan jelas tidak menghormati bulan Ramadan yang mulia.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, amat dikesali apabila menyaksikan klip video menunjukkan sekumpulan lelaki yang terkinja-kinja menari sambil menyanyikan lagu hari raya dengan gaya yang memualkan.
“Menambahkan lagi kejengkelan tindakan korang sopan itu ialah, ia tular di media sosial dalam bulan Ramadan yang suci ketika umat Islam sedang menunaikan fardhu puasa dan pelbagai amalan sunat yang lain.
“Kumpulan berkenaan sama sekali tidak menghormati bulan yang mulia ini apabila dengan tanpa segan silu menari dengan gaya yang keterlaluan seperti orang mabuk yang tidak siuman.
“Kelakuan tidak bersopan ini menunjukkan bahawa para pelakunya mungkin tidak pernah didedahkan kepada pendidikan agama dan akhlak oleh keluarga mereka,” katanya di sini, hari ini.
Aliff Syukri, 36, sebelum ini membuat permohonan maaf selepas memuat naik klip video lagu baharu berjudul ‘Love Raya’ yang memaparkan sekumpulan lelaki berkelakuan aneh dan tidak sopan menari pada bulan Ramadan.
Melalui hantaran video dalam laman Instagram semalam, usahawan kontroversi itu turut memohon maaf kepada ibunya yang juga usahawan kosmetik, Rozita Ibrahim selepas ditegur kerana memuat naik video tidak sepatutnya pada bulan Ramadan.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sebagai umat Islam, semua pihak sepatutnya komited terhadap adab-adab tertentu terutama dalam bulan Ramadan ini dan bukannya bertindak sesuka hati sahaja.
“Bulan barakah ini adalah satu peluang yang mesti direbut untuk beribadah dan beramal soleh, bukan dipenuhi dengan program-program yang tidak sesuai seperti yang dilakukan oleh kumpulan berkenaan.
“Kalau nak berhibur sekalipun, biarlah dengan cara yang bersopan dan sesuai dengan ketika dan suasana bulan ibadah yang perlu dihormati,” katanya.-UTUSAN









