Boikot berlebihan boleh dianggap taasub - mufti

Boikot berlebihan boleh dianggap taasub – mufti

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tindakan memboikot mana-mana premis perniagaan termasuk restoran atau syarikat berkaitan secara berlebihan boleh dianggap sebagai taasub.

Pada masa yang sama, tindakan itu juga dikhuatiri boleh mengundang persepsi negatif terhadap agama Islam itu sendiri.

Sehubungan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berpendapat, perbuatan memboikot mana-mana premis yang didapati melakukan penghinaan terhadap agama Islam atau umatnya itu tidak sepatutnya dilakukan sama sekali meskipun pada prinsipnya, ia dianggap sebagai wajar.

“Dalam hal ini, memadailah sekiranya tindakan tersebut (memboikot) dilakukan sekadar diperlukan sahaja atau secara sederhana sebagai menunjukkan tanda protes.

“Boikot yang melampau tidak patut digalakkan kerana ia mencerminkan sifat taasub dan kedengkian yang merosakkan agama dan akhlak.

“Agama Islam tidak suka umatnya bersikap ekstrim dan taasub walaupun atas nama agama. Sikap sedemikian lazimnya didorong oleh kejahilan serta fikiran ‘tertutup’ oleh golongan yang tidak boleh bertolak-ansur terhadap orang lain serta pihak lain yang berbeza pandangan dan kepercayaan dengannya,” katanya di sini, hari ini.

Wan Salim berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa hantaran tular di media sosial yang menyamakan pelanggan seperti anjing dan khinzir ketika menikmati makanan di sebuah restoran makanan segera yang diboikot sebelum ini.

Jelas Wan Salim lagi, dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti di Malaysia, adakalanya akan berlaku kejadian yang boleh menggores atau menyinggung perasaan mana-mana pihak sama ada disengajakan atau tidak.

“Maka, di sinilah kita memerlukan kewarasan serta kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian ini agar ia tidak menambahkan lagi ketegangan yang akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan yang merugikan semua pihak,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Wan Salim menggesa seluruh rakyat di negara ini supaya sentiasa bekerjasama dalam memupuk serta menyuburkan perpaduan dan sikap toleransi antara satu sama lain demi keamanan dan kesejahteraan negara.

“Jadi, jika berlaku kejadian yang tidak diingini atau tidak disenangi selepas ini, maka, hendaklah ia ditangani dengan berhikmah serta penuh bijaksana melalui rundingan dan bukannya dengan memberi reaksi yang melampau atau tidak rasional,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN