PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.
Mengumumkan perkara itu, Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, pihaknya bersama PSM sebelum ini sudah melakukan beberapa siri perbincangan dan pertimbangan sebelum memutuskan untuk tidak bertanding.
Menurutnya, keputusan itu diambil bagi membolehkan pengundi di Kuala Kubu Baharu melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi kerajaan Madani.
Selain itu, katanya, ia juga untuk membolehkan pengundi membuat keputusan antara parti pemerintah penyandang dan parti pembangkang utama.
“Meskipun MUDA-PSM tidak bertanding dalam PRK Kuala Kubu Bharu ini, tetapi kami menggesa semua parti politik dan calon yang bertanding untuk memenuhi aspirasi pengundi dan hasrat rakyat Malaysia iaitu memerangi politik perkauman yang menggugat keharmonian rakyat.
“Memperjuangkan hak rakyat berdasarkan penilaian keperluan dan bukan perkauman, memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan memperjuangkan keadilan kos sara hidup serta meningkatkan keselamatan sosial.
“Kami juga menuntut mereka memelihara dan memulihara alam sekitar dan memberi jaminan hak demokratik rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan pada 11 Mei ini manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 27 April ini.
Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, MUDA dan PSM tekad untuk terus menjadi suara kepada rakyat walaupun tidak bertanding.
“Isu-isu penting seperti kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, perumahan yang menekan golongan B40, penjagaan kesihatan awam yang semakin sempit adalah antara fokus yang perlu disegerakan oleh kerajaan Madani.
“Malah, MUDA-PSM akan menggunakan tempoh berkempen dua minggu pada pilihan raya kecil ini untuk melancarkan kempen-kempen rakyat.
“Kami akan terus komited untuk membawa keluh-kesah rakyat di Kuala Kubu Baharu dan mengajak rakyat menggunakan hak demokratik mereka untuk memilih, menghukum dan memberi mesej yang jelas kepada wakil rakyat dan parti politik supaya mengutamakan amanah dan tanggungjawab kepada negara,” katanya. – UTUSAN










