Model bunuh kekasih: Sebutan serahan dokumen perubatan 28 Mei

Model bunuh kekasih: Sebutan serahan dokumen perubatan 28 Mei 

TAMILSELVI ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini menetapkan 28 Mei ini sebagai sebutan semula bagi serahan dokumen perubatan kes seorang model sambilan yang dituduh membunuh teman lelakinya, bulan lalu. 

Majistret Maslinda Selamat memutuskan demikian bagi pihak pendakwaan menyerahkan laporan perubatan toksikologi, bedah siasat dan kimia.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khadijah Amir Hamdzah memaklumkan laporan itu belum dapat disediakan dengan memohon tarikh baharu bagi mengemukakan dokumen berkaitan perubatan.

Peguam Vitiya Monisha Paranthaman dan Aniesha De Silva pula berkata, tertuduh, A. Tamilselvi, 26, mempunyai beberapa laporan perubatan hospital yang akan dikemukakan pihaknya nanti.

“Kami belum dapat maklum balas daripada pihak hospital berhubung keputusan atau laporan kesihatan anak guam.   

 “Selain itu, dia sudah mendapatkan konsultasi masalah kesihatan dihadapinya dan akan mendapat rawatan di penjara nanti,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tamilselvi yang merupakan bekas pelajar perubatan itu didakwa membunuh V. Gawsigan, 26, di sebuah rumah di Telok Panglima Garang di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi, 11 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan cemburu dipercayai punca seorang wanita hilang pertimbangan dengan menikam mati kekasihnya sendiri dalam sebuah rumah sewa.

Suspek bagaimanapun sempat membawa mangsa yang juga jurufoto sambilan ke sebuah klinik sebelum dipindahkan ke Hospital Cyberjaya bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Namun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, kira-kira pukul 7.25 pagi.

Pasangan kekasih itu dipercayai menjalin hubungan cinta selama tiga tahun dan polis turut merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa.

Suspek berjaya diberkas anggota polis di sekitar kawasan Hospital Cyberjaya pada pukul 12.30 tengah hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN