Mendiang Joseph Kurup selamat dikebumi

Mendiang Joseph Kurup selamat dikebumi

ARTHUR Joseph Kurup (tiga kiri) bersama ahli keluarga semasa pengebumian mendiang Joseph Kurup di Penampang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Mendiang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional), Tan Sri Joseph Kurup selamat dikebumikan di The Empire Paradise Christian Memorial Park kira-kira pukul 10 pagi, hari ini.

Anaknya, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup menyifatkan mendiang sebagai seorang ayah yang penyayang dan berkepemimpinan tinggi.

Berpegang kepada konsep ‘di mana ada perpaduan, di situ ada kejayaan’ merupakan tekad mendiang untuk memastikan perpaduan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

“Bagi kami sekeluarga, kami kehilangan seorang ayah yang amat disayangi, tiang seri yang telah banyak berkorban demi kesejahteraan keluarga. Mendiang abadi dalam kenangan kami sebagai seorang bapa yang mempunyai kepemimpinan yang tinggi, sentiasa bersemangat dalam melaksanakan apa-apa urusan.

“Saya mewakili keluarga mendiang Tan Sri Joseph Kurup ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, pimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah serta saudara mara yang meluangkan masa menziarah dan memberi penghormatan terakhir sehingga ke upacara pengebumian,” katanya selepas majlis pengebumian mendiang Kurup, hari ini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, sebagai anak jati Sabah, mendiang adalah seorang pemimpin yang setia berkhidmat dan sanggup melakukan apa sahaja demi kebajikan dan kesejahteraan wilayah Sabah serta rakyatnya.

Menurut beliau, jasa dan pengorbanan mendiang tiada galang gantinya terutama dalam membangun infrastruktur berteras keperluan rakyat di samping perjuangan mendiang untuk merubah pemikiran masyarakat pedalaman untuk menjadikan pendidikan sebagai pemangkin transformasi bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat luar bandar.

Ketokohan dan nilai-nilai murni yang ditanam mendiang ketika menjadi Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menjadi asas kepada “Berjuang Untuk Kecemerlangan Rakyat”. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN