CARACAS: Angka kematian akibat gempa bumi berkembar kuat yang melanda Venezuela dua minggu lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,889 orang, menurut laporan kerajaan.
Hampir 17,000 orang cedera dalam gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang melanda pada 24 Jun, manakala hampir 18,000 lagi kehilangan tempat tinggal.
Angka korban meningkat daripada 3,811 kepada 3,889 pada Khamis, menurut laporan yang dimuat naik di Telegram oleh Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodriguez.
Pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodriguez pada Rabu menggesa dana Venezuela yang dibekukan di luar negara dibebaskan bagi membantu negara itu menangani bencana berkenaan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula sedang berusaha mengumpulkan kira-kira AS$300 juta (RM1.2 bilion) bagi membiayai usaha pemulihan di Venezuela.
Negara Amerika Selatan itu juga sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membuka semula akses kepada aset kewangannya yang dibekukan, menurut jurucakap IMF, Julie Kozack.
Di kawasan pesisir La Guaira yang paling terjejas, lebih 800 bangunan mengalami kerosakan manakala 190 lagi runtuh sepenuhnya.
Ketika pasukan penyelamat mula menghentikan operasi mencari mangsa yang terselamat dua minggu selepas bencana itu, sebahagian keluarga masih enggan berputus asa untuk menemukan insan tersayang.
Seorang penduduk, Ciro Ocando percaya beliau telah mengenal pasti lokasi dua anak lelakinya yang masih remaja tertimbus di bawah timbunan runtuhan di Playa Grande, La Guaira.
Seperti ramai waris lain, Ocando hanya berharap dapat menemukan jasad kedua-dua anaknya yang masing-masing berusia 13 dan 18 tahun, selepas menerima hakikat peluang mereka untuk terus hidup sudah tiada.
“Saya berada di lokasi yang betul, tetapi terdapat terlalu banyak halangan,” katanya sambil menggunakan peralatan sendiri untuk menggali timbunan runtuhan.-AFP










