3,000 peserta dari 30 negara sertai OCBC Cycle KL

3,000 peserta dari 30 negara sertai OCBC Cycle KL

OCBC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 3,000 penunggang basikal dari Malaysia dan 29 negara lain menyertai OCBC Cycle Kuala Lumpur yang berlangsung Ahad lalu, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara berbasikal berskala besar terkemuka di ibu negara.

Acara edisi kesembilan itu menampilkan kategori utama sejauh 50 kilometer (km) dan 25 km dengan peserta berpeluang mengayuh basikal merentasi beberapa mercu tanda ikonik termasuk Dataran Merdeka, KLCC, Tugu Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Menara OCBC.

Perlumbaan tersebut dilepaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank (Malaysia) Berhad, Tan Chor Sen.

Hannah berkata, bandar terbaik bukan sekadar menjadi lokasi untuk dilalui, sebaliknya tempat yang membuatkan orang ramai mahu meluangkan masa.

“Melalui acara seperti OCBC Cycle KL, kita sedang membentuk Kuala Lumpur yang lebih sihat, lebih bertenaga dan lebih menyeronokkan untuk penduduk serta pengunjung,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Chor Sen berkata, pihaknya berbesar hati melihat sambutan memberangsangkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa pada tahun ini.

Katanya, sesebuah bandar bukan hanya ditentukan melalui infrastrukturnya, tetapi bagaimana orang ramai bergerak, berhubung dan merasai pengalaman di dalamnya.

“Kami berbangga dapat menyediakan platform seperti OCBC Cycle KL yang menggalakkan gaya hidup aktif untuk semua peringkat umur, selain menawarkan pengalaman unik kepada peserta yang menikmati landskap bandar yang menarik serta warisan negara.

“Dengan berlangsungnya Tahun Melawat Malaysia 2026, acara seperti ini amat bermakna dalam mengetengahkan kepelbagaian tarikan negara dan mengalu-alukan pengunjung dari seluruh dunia untuk meneroka keistimewaan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad, Syed Abdull Aziz Syed Kechik yang turut menyertai kategori 25km berkata, acara berkenaan berjaya memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga organisasi itu.

Katanya, pengalaman berbasikal bersama 300 rakan sekerja OCBC melalui mercu tanda ikonik Kuala Lumpur di jalan bebas trafik memberi pengalaman berbeza kepada peserta.

“Selepas menyertai acara ini selama beberapa tahun, saya melihat bagaimana ia berjaya mengeratkan hubungan rakan sekerja di luar persekitaran pejabat,” katanya.

Antara tarikan utama penganjuran tahun ini ialah pengenalan The KL Steadiest Rider Challenge yang menguji keseimbangan, kawalan dan ketepatan peserta menerusi cabaran sejauh 10 hingga 50 meter tanpa meletakkan kaki ke tanah.

Selain itu, acara kegemaran ramai turut kembali termasuk The KL Mayor’s Ride, iaitu kategori berkumpulan sejauh 50km melibatkan 10 penunggang bagi setiap pasukan serta Kids’ Push Bike untuk kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun.

Lebih 60 pemenang diraikan dalam semua kategori termasuk perlumbaan 50 km, The KL Mayor’s Ride dan Kids’ Push Bike.

Susulan kejayaan penganjuran itu, OCBC Cycle akan kembali ke Johor Bahru pada 11 Oktober ini untuk tahun kedua dengan menampilkan laluan sejauh 42 km dan 21 km bagi penunggang berpengalaman serta peserta rekreasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN