KUALA LUMPUR: Mesyuarat pilihan raya yang turut disertai MCA baru-baru ini menunjukkan parti itu masih mahu bekerjasama dan kekal sebagai komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak timbul isu tiada calon lain lebih layak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang membuka tirainya hari ini.
“Saya beberapa hari lepas dalam pertemuan pemimpin Kerajaan Perpaduan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong duduk sebelah saya.
“Ketika saya hadir pengerusikan Mesyuarat PH dan BN (Barisan Nasional) minggu lalu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low juga hadir.
“Saya anggap kehadiran mereka itu sebagai simbol kerjasama. Saya melihat dari sudut positif,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Bersama Rakan Strategik Dengan Komuniti Setempat di Perumahan Awam Sri Sabah di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau menghormati teguran dan kritikan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berhubung pengumuman penyaluran RM5.21 juta kepada penduduk di Hulu Selangor menjelang kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu yang disifatkan melanggar garis panduan pilihan raya bersih.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui negara mempunyai undang-undang jelas berhubung pilihan raya sama ada mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya atau undang-undang lain.
“Bersih menyampaikan pandangan mereka. Semua pihak boleh membuat pertimbangan sewajarnya mengenai perkara itu,” jelasnya.
Sementara itu, menyentuh rakaman video kempen pilihan raya lama tetapi ditularkan semula masyarakat seharusnya mengambil pendekatan pandang ke depan demi kestabilan politik.
“Dalam politik ini kita nak ajak rakyat pandang ke depan, kalau cerita bongkar ini, tidak akan ada titik temu dan saya tidak fikir itu amalan politik yang baik.
“PKR dulu kami pernah berkawan dengan Pas, Pas pernah berkawan dengan UMNO dan DAP tapi Pas tak bertanding di sini (PRK DUN Kuala Kubu Bharu), yang bertanding Bersatu dan dulu kami pernah berkawan dengan Bersatu.
“Kalau saya nak buka balik cerita lama dulu Bersatu pernah puji PKR dan PKR puji Bersatu. Tapi kita nak mula ini (kempen) 12 hari dengan pandang ke depan mengenai program, dasar dan kejayaan kita. Kalau ada pihak nak tumpu dan gali telaga lama, silakan,” katanya.
Terdahulu, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.- UTUSAN










