Cuma saya risaukan kru penggambaran yang tak cukup rehat - Hun Haqeem - Utusan Malaysia

Cuma saya risaukan kru penggambaran yang tak cukup rehat – Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Hun Haqeem, 28, mengambil pendekatan untuk sabar dalam menghadapi masalah disiplin pelakon lain terutamanya yang selalu datang lambat ke set penggambaran.

Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy berkata, dalam menghadapi situasi itu, dia sekadar mampu berlapang dada dan bersangka baik serta melindungi emosinya daripada tercalar akibat masalah disiplin pelakon tersebut.

“Saya mengambil pendekatan untuk memahami situasi orang lain. Kadang kala kita tidak dapat mengelakkan perkara luar jangka. Saya tak kisah perkara itu.

“Pada masa yang sama kita kena lebih banyak sabar, kerana tak mahu membuang emosi yang akan digunakan dalam lakonan. Saya sentiasa berfikiran seperti itu, belajar mengawal emosi sendiri kerana itu yang perlu dijaga.

“Cuma yang saya risaukan adalah orang lain sebab ada kru penggambaran yang tak cukup rehat, perkara ini akan memberi kesan kepada keseluruhan produksi,” katanya pada Tayangan Perdana dan What’s Next On Viu Cinta Dalam Sekam di Odeon Kuala Lumpur.

Hun mengulas tentang isu pelakon yang baru-baru ini meluahkan di paltform Thread mengenai sikap datang lama pelakon lain ke set penggambaran.

Mengulas lanjut, pelakon yang menyinar menerusi drama Kampung People dan W-Two World itu bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila terdapat pelakon, terutamanya pelakon sampingan yang mempunyai masalah disiplin di set pengambaran.

“Bercakap tentang etika kerja ini, agak mengecewakan apabila seseorang pelakon itu gagal menunjukkan prestasi yang baik. Sejujurnya, banyak kali juga saya melihat perkara itu berlaku. Malah ada pelakon yang selalu datang lambat ke set penggambaran.

“Di penghujungnya, ia tentang menghormati kerja orang lain. Seronok bekerja apabila pelakon tahu menghormati skop pekerjaan itu, persekitaran akan menjadi lebih harmoni. Namun apabila berlaku kejadian begini, saya rasa kecewa,” tambahnya lagi.

Hun bagaimanapun berpandangan individu bermasalah ini ada dimana-mana, justeru katanya pendekatan yang terbaik diambil adalah bersangka baik dan saling menasihati antara satu sama lain demi kebaikan bersama.

“Ada masanya kita perlu hadap individu bermasalah ini. Mungkin kita kena bersangka baik dan sama-sama memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa.

“Yang diperlukan adalah kesabaran dan mungkin individu yang datang lambat itu akan berubah bila melihat pelakon senior yang lain datang awal,” kongsinya.

Sementara itu Hun berpendapat hal ehwal mengenai disiplin artis itu tidak harus dijaja di media sosial sebaliknya diselesaikan secara berdepan bagi mengelakkan salah faham.

“Meluahkan di media sosial bukan jalan penyelesaiannya. Kita masing-masing sudah matang, boleh berfikir baik buruk. Lebih elok selesaikan perkara ini secara berdepan daripada bercakap tentangnya di media sosial,” kongsinya lagi. – UTUSAN

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN