Pemandu bas sekolah dirawat di hospital kerana 'depression' - Utusan Malaysia

Pemandu bas sekolah dirawat di hospital kerana ‘depression’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pemandu bas sekolah yang terlibat dalam insiden kemalangan maut melibatkan seorang murid darjah satu di Taman Sri Lalang, di sini petang semalam sedang dirawat di hospital kerana tekanan perasaan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, pemandu bas iaitu seorang wanita tempatan berusia 36 tahun itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini malam tadi.

“Ujian urin telah dibuat terhadap pemandu dan mendapat keputusan urin negatif. Pemandu bagaimanapun akan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Muhammad Umar Mohd. Faaiz, 7, dilaporkan maut selepas mengalami kecederaan parah dipercayai akibat dilanggar bas sekolah yang dinaikinya ketika hendak pulang ke rumah selepas tamat sesi sekolah agama.

Bahrin dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu turun daripada bas sekolah dan berjalan menuju ke rumah kediamannya.

“Pada masa sama bas sekolah yang dipandu wanita berusia 36 tahun itu bergerak ke hadapan dan membelok ke kiri tanpa menyedari kanak-kanak tersebut berada berhampiran sehingga menyebabkan perlanggaran.

“Akibat kejadian itu, kanak-kanak tersebut telah terjatuh ke atas jalan sehingga mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah beliau, pemandu tersebut turut dilaporkan pengsan dipercayai akibat trauma selepas menyaksikan kemalangan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN